Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTronoh – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Antirasuah Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2024 dengan mengalahkan pasukan pendebat dari Universiti Malaya (UM) pada pertandingan akhir yang berlangsung di Kompleks Canselor, Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Pada pusingan akhir yang membawa usul “Dewan ini menyanggah penglibatan saudara-mara atau sekutu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran dalam perolehan tender projek daripada kerajaan,” pasukan pendebat UKM berada di posisi pembangkang, manakala pendebat UM di posisi kerajaan.
Sebanyak 40 buah pasukan pendebat yang membabitkan sebanyak 160 peserta daripada universiti awam, universiti swasta, Institut Pendidikan Guru, Institusi Pendidikan MARA, Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh negara mengambil bahagian dalam pertandingan ini yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dengan format pendebatan ala Parlimen.
Sementara itu, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Haji Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam ucapan perasmian penutupan berkata, SPRM sangat komited dalam usaha pendidikan antirasuah kepada golongan muda kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara pada suatu hari nanti.
“Saya amat teruja apabila melihat para pendebat dapat mengeluarkan idea dengan baik dan berdebat sebagai seorang yang bertamadun,” ujar beliau.
Yurut hadir dalam program tersebut ialah YBhg. Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, Naib Canselor UTP; YBhg. Profesor Dr. Akmal Khazairy Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia; YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan YBrs. Encik Armin Azhari, Pengarah DBP Wilayah Utara.
Pertandingan Debat Antirasuah pertama kali diadakan pada tahun 2019 bertujuan membentuk mahasiswa yang sentiasa peka dengan keadaan semasa dan lebih berani dalan menyuarakan pendapat berkenaan dengan isu rasuah serta integriti. Penganjuran kali kelima tahun ini yang berlangsung dari 7 Jun 2024 hingga 9 Jun 2024 diadakan secara bersemuka sepenuhnya di UTP.