9 Jun 2024, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu “Rencana yang baik perlu menekankan penggunaan bahasa yang baik dan padat, mengikut kesesuaian sasaran pembaca. Gaya bahasa yang bersesuaian dapat membantu sasaran pembaca memahami topik yang dibincangkan dalam sesebuah rencana dengan lebih mudah.”

Demikian antara perkongsian oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Saleeh Rahamad @ Ahmad yang menjadi pembimbing Kursus Penulisan Rencana yang dianjurkan oleh Persatuan Sastera dan Bahasa Sabah (PSBS), dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada hari ini.

Beliau turut memberikan pengenalan secara umum yang berkenaan dengan asas penulisan rencana, yang mempunyai perbezaan dengan penulisan kewartawanan dan berita.

Menurut beliau, sesiapa yang ingin menulis rencana sewajarnya mengenal pasti topik atau isu yang ingin diutarakan terlebih dahulu dan menguasai topik tersebut sebelum mengupas kandungannya secara lebih lanjut.

Menurutnya lagi, seseorang penulis rencana juga harus mengenal pasti gaya dalaman setiap majalah atau akhbar yang ada di Malaysia sebelum menghantar karya untuk diterbitkan. Hal ini demikian kerana setiap majalah dan akhbar mempunyai nuansa yang berbeza, yang membolehkan rencana terpilih untuk diterbitkan.

Tambah beliau;

Negeri Sabah kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya. Oleh itu, penulis-penulis tempatan khasnya yang mempunyai pengetahuan yang  berkenaan dengan khazanah kebudayaan berkenaan wajar menulis rencana yang berkait dengan kearifan tempatan agar para pembaca juga berupaya menikmati keunikan negeri Sabah.

Sebanyak 30 orang peserta menghadiri kurus ini yang dilaksanakan sebagai pendedahan kepada para peserta berkenaan dengan teknik penulisan rencana yang betul di samping sebagai bimbingan untuk menghasilkan rencana yang menepati piawaian bagi tujuan penerbitan oleh DBP.

DBP Cawangan Sabah juga berharap agar lebih banyak rencana yang bersifat kearifan tempatan dan berkualiti dapat dihasilkan melalui program ini bagi memperkaya kosa ilmu di samping memperbanyak hasil karya yang sesuai untuk diterbitkan.

Pembimbing sedang memberikan ceramah berkenaan penulisan rencana.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.