Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol
Kuching – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah menganjurkan Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Peringkat Akhir pada 11 Jun 2024 di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menyaksikan SMK Baru Bintulu dinobatkan sebagai johan pertandingan.
Dengan tajuk forum, “Generasi Alfa: Matangkah Mereka Mendepani Media Sosial?”, SMK Baru Bintulu membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM2,500.00, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan akan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan pada bulan Julai 2024 di Kuala Lumpur
Pasukan yang dibimbing oleh Puan Nancy Ahmadie Chen dan Puan Teong Ung Ung ini dianggotai oleh Atasha Fatin Fazirah Abdul Rahman sebagai pengerusi, Khairrunnisa Qurratu Aini Abu Bakar, Ronald Rio anak Suliman, Eva Elishya Bulan Freddy dan Rossa Remy anak William sebagai ahli forum.
Naib johan pertandingan ini diraih oleh SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dengan tajuk forum, “Pendidikan Berpaksikan Teknologi Pintar: Tonggak Kebitaraan atau Tidak”, yang dipengerusikan oleh Dayang Nurainun Nasuha Awang Mohd Najib, serta Nur Arina Umairah Ayub, Najmi Asyraaf Abdul Halim, Baihaqi Almam Kelana, dan Muhammad Faris Muzaffar Samsury sebagai ahli forum yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.00, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.
Tempat ketiga pula telah dimenangi oleh pasukan SMK Riam, yang dipengerusikan oleh Chamine Bulan Lah, dan ahli forum, iaitu Nur Syifa’ Inas Zaidi, Siti Nurnabilah Rahmat dan Brenda Benya anak Henry Tukang dengan tajuk forum, “Budaya Membaca Membuka Cakerawala” dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.00, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.
Sementara itu, dua buah sekolah, iaitu SMK Sri Aman dan SMK Rosli Dhoby telah menerima hadiah sagu hati sebanyak RM500.00, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.
Ronald Rio anak Suliman dari SMK Baru Bintulu pula terpilih sebagai Ahli Forum Terbaik dan Dayang Nurainun Nasuha Awang Mohd Najib dari SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab dipilih sebagai Pengerusi Terbaik yang menerima wang tunai sebanyak RM300.00, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.
Terdahulu, peringkat saringan pertandingan ini telah dilaksanakan di seluruh Sarawak bermula pada 22 April hingga 8 Mei 2024 dengan penyertaan sebanyak 71 buah sekolah. Pada peringkat akhir, hanya lima pasukan telah terpilih dan pemenangnya akan mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan.
Sementara itu, pada majlis yang sama, YB Datuk Dr. Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Sarawak dalam ucapannya menzahirkan;
Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama dari pelbagai aspek kepada DBP Malaysia, khususnya DBP Cawangan Sarawak dalam penganjuran pelbagai aktiviti kebahasaan di Sarawak.
Hadiah pertandingan kepada pemenang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Antara tetamu kenamaan yang turut hadir termasuklah YBhg. Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, YB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, YB Datuk Dr. Annuar Rapaee, Speaker Dewan Undangan Sarawak; YB Datuk Hajah Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Sarawak; YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah Dasar, DBP; YBhg. Dr. Haji Azhar Haji Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak.