Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBukit Kiara – Bermula pada 10 Jun 2024 hingga 14 Jun 2024, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) menganjurkan kursus Pembinaan Munsyi Muda Siri 1/2024 untuk penjawat awam agar dapat berbahasa dengan baik.
Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa ini merupakan program di bawah “Strategi 5: Mewujudkan Unit Khas Pelaksanaan Bahasa bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik, betul dan santun dalam kalangan penjawat awam” dalam rangka Pelan Tindakan Program Kebahasaan Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan 2015 – 2017.
Kursus ini dihadiri oleh penjawat awam pelbagai gred dari beberapa kementerian, jabatan dan agensi dari seluruh Malaysia seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Universiti Teknologi Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dan Kementerian Pertahanan.
Objektif kursus ini adalah untuk membimbing penjawat awam menggunakan pembentukan kata yang betul bagi perkataan bahasa Melayu yang standard mengikut Kamus Dewan selain membimbing penjawat awam menggunakan pembentukan ayat yang betul dan tanda baca yang tepat dalam dokumen rasmi jabatan.
Peserta yang lulus Ujian Kursus Pembinaan Munsyi Muda kelak akan dipanggil untuk mengikuti Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa bagi melayakkan peserta menerima Sijil Penuh Munsyi Muda Bahasa.
Peserta yang melepasi tahap penilaian kefahaman Bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan ditauliah oleh Ketua Pengarah DBP, dan dilantik oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sebagai Munsyi Muda Bahasa.
Selama lima hari, para peserta diberi pendedahan yang berkaitan dengan bidang kebahasaan seperti sistem ejaan rumi dan sebutan, kesalahan tatabahasa, penjodoh bilangan, kata bestari, penanda wacana, sistem tanda baca dan beberapa topik lain yang berkaitan dengan bahasa.
Kursus ini dibimbing oleh Encik Abdul Karim A. Bakar yang merupakan Munsyi Dewan.