14 Jun 2024, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan  Pertandingan Forum Remaja 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang dilaksanakan pada 13 Jun 2024 di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan merupakan satu daripada inisiatif dalam mencapai Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu oleh kerajaan bagi melahirkan pelajar yang berkeyakinan tinggi dan berketerampilan serta berkebolehan berhujah dan mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan.

Sebanyak 10 buah sekolah menengah di WP Labuan menyertainya bagi memilih wakil untuk bersaing dalam Pertandingan Forum Remaja 2024 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 10 Julai 2024, di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Dalam pertandingan ini, Sekolah Menengah Sains Labuan telah muncul sebagai johan, diikuti oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan sebagai naib johan dan Sekolah Menengah St. Anne sebagai pemenang tempat ketiga.

Johan Pertandingan Forum Remaja 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, Sekolah Menengah Sains Labuan.

Nur Azrieana Mohammad Nazri dari Sekolah Menengah Sains Labuan telah muncul sebagai Pengerusi Terbaik dan Nicole Grace Wong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan pula terpilih sebagai Ahli Forum Terbaik.

Dalam pertandingan tersebut, para peserta diadili oleh tiga orang panel hakim yang terdiri daripada Puan Noorzanani Haji Kata, Penolong Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, selaku ketua hakim; Encik Yahya Ahmad Putih, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan; dan Encik Mohd Farik Madun, Munsyi Bahasa, DBP.

Melalui aktiviti berforum, pelajar dapat memperluas kosa kata dan menggunakan bahasa yang bermutu tinggi – YBrs. Tuan Haji Abidin Haji Marjan, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan perasmian dan penutupan, YBrs. Tuan Haji Abidin Haji Marjan, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan memaklumkan bahawa melalui aktiviti berforum, pelajar dapat memperluas kosa kata dan menggunakan bahasa yang bermutu tinggi, serta membantu membina kematangan berfikir yang menjadi asas kepada pembentukan nilai-nilai kepemimpinan dalam kalangan pelajar.

Semasa menyampaikan ucapan penghargaan DBP pula, YBrs, Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah II, yang mewakili YBrs. Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah menjelaskan bahawa penganjuran program ini membuktikan iltizam DBP untuk terus memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai pengungkapan buah fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan, betul dan indah khususnya dalam pembinaan negara bangsa.

Persembahan penghibur jalanan.

Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah turut mengadakan Dialog Karyawan dan Malam Apresiasi Seni di Restoran Anjung Ketam, WP Labuan yang turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Harun Pudin, Ketua Satu Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA); YBrs. Encik Yahya Ahmad Putih, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan; YBrs. Puan Norazita Md Nor, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun dan YBrs. Puan Aslizah Hasan dari Perbadanan Labuan.

Program ini diadakan bagi mempereratkan hubungan DBP Cawangan Sabah bersama-sama rakan sinergi di WP Labuan, serta menggalakkan kegiatan santai seni melalui bacaan puisi dan nyanyian lagu puisi dan seterusnya merancang program kebahasaan dan persuratan pada masa yang akan datang.

Antara tetamu yang hadir dalam program ini termasuklah ahli PERWILA, pegawai Perbadanan Labuan, pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, pegawai Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan dan guru-guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.