Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol
Kuching – Pertandingan Pidato Suara Mahasiswa Kenyalang telah berjaya membugarkan keintelektualan dan kreativiti pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.
Pertandingan yang diadakan semalam di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak ini merupakan kolaborasi antara DBP Cawangan Sarawak dengan Persatuan BASiS dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Sarawak yang menampilkan 12 orang peserta di peringkat akhir.
Dalam pertandingan tersebut, Encik Muhamad Atif Asyrul Jafar telah dinobatkan sebagai johan pertandingan dengan tajuk pidatonya, “Identiti dan Integriti Generasi Peneraju” dan membawa pulang hadiah wang tunai RM200.00, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.
Sementara itu, YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak dalam ucapannya menzahirkan keterujaannya menyaksikan pertandingan ini dan berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.
Tambah beliau,
Pertandingan ini akan menjadi platform kepada peserta untuk membugarkan keintelektualan dan kreativiti peserta. Para peserta juga boleh menjadikan pertandingan sebagai tempat menyuarakan pandangan secara kritis serta membina keyakinan diri ketika berucap di hadapan khalayak ramai.
Terdahulu, Penyelaras Ijazah Sarjana Muda Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Sarawak, Puan Sharifah Shaneela Wan Achmed Razali dalam ucapan penghargaannya berharap agar pertandingan ini dapat melahirkan pemimpin yang cemerlang pada masa akan datang.
“Pertandingan pidato ini membuktikan kehebatan mahasiswa yang belajar di UiTM Sarawak mampu membawa diri mereka mengharungi perjalanan sepanjang menimba ilmu di UiTM. Pertandingan ini pastinya dapat melahirkan graduan dengan asas kepimpinan yang cemerlang dan mungkin suatu hari kelak dapat menjadi pemimpin Sarawak yang gemilang, ujarnya lagi”
Sementara itu, Encik Muhamad Atif Asyrul Jafar telah dinobatkan sebagai johan pertandingan dengan tajuk pidato “Identiti dan Integriti Generasi Peneraju” dan membawa pulang hadiah wang tunai RM200.00, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.
Selain itu, naib johan telah dimenangi oleh Encik Muhammad Haziq Awang Shahrin dengan tajuk pidatonya, “Pemimpin Hebat Cahaya Pembangunan Insan” dan membawa pulang hadiah wang tunai RM150.00, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.
Tempat ketiga pertandingan pula dimenangi oleh Encik Kieth Ryan Ganyun Anak Kenneddy dengan tajuk pidatonya, “Kepimpinan Berintegriti Negara Madani” dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100.00, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.