21 Jun 2024, 17:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Khairul Azhar Baharuddin

Bukit Mertajam “Individu yang tidak tahu dan tidak boleh berbahasa Melayu tidak layak menjadi warganegara Malaysia kerana bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara kita!”

Demikian penegasan YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam a/l Rajamanickam, Pensyarah Pusat Kajian Undang-undang Malaysia dan Perbandingan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tambah beliau, walaupun banyak yang mengecam dan mempertikaikan pendapat  tersebut, beliau akan terus menyuarakannya kerana berpegang pada prinsip berani kerana benar.

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah dipelajari kerana sebutan perkataannya sama sebagaimana ejaannya, tidak seperti bahasa lain. Sebagaimana bahasa Melayu, setiap bahasa di dunia adalah unik dengan caranya yang tersendiri. Jadi, tidak hairanlah orang luar yang datang bekerja di negara kita mampu berbahasa Melayu hanya dalam tempoh masa yang singkat.

Beliau berkata, adalah penting untuk setiap rakyat mencintai bahasa kebangsaan kerana bahasa Melayu merupakan jati diri dan melambangkan identiti budaya dan negara selain merupakan titik pertemuan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau juga berpandangan, walaupun teknologi menyebabkan berlakunya lambakan pencemaran bahasa tetapi teknologi sebenarnya menyediakan akses yang lebih mudah bagi masyarakat untuk mendapatkan maklumat termasuklah tentang bahasa kebangsaan.

“Jika dahulu, kita perlu mencari Kamus Dewan dan Kamus Pelajar untuk mencari makna perkataan atau sesuatu istilah tetapi kini kita boleh merujuk terus maklumat tersebut dengan hanya melayari Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang disediakan oleh DBP”, jelas beliau semasa menjadi ahli panel dalam Rancangan DBP di Sana Sini: Wacana Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita bersempena dengan hari ulang tahun ke-68 DBP di Dewan Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada pagi tadi.

Dari kiri: YBrs. Encik Lim Shan Shien, YBrs. Dr. Muhammad Kahirulrijal Mohamad Saad (moderator) dan YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam a/l Rajamanickam.

Sementara itu, Duta Perpaduan dan Ikon Belia, iaitu YBrs. Encik Lim Shan Shien, selaku seorang lagi panel dalam wacana tersebut pula berkata, bahasa Malayu merupakan bahasa perpaduan yang boleh menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia kerana bahasa Melayu bahasa yang mudah dan boleh dituturkan oleh semua orang.

Duta Perpaduan dan Ikon Belia, YBrs. Encik Lim Shan Shien.

Katanya, walaupun penggunaan bahasa Melayu adalah terhad di peringkat institusi pengajian tinggi terutamanya bagi jurusan tertentu, mahasiswa boleh menyertai pelbagai program yang memartabatkan penggunaan bahasa Melayu seperti kelab pengucapan awam dan sebagainya.

Sebagai belia, kita boleh mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu dengan menulis setiap hantaran di media sosial dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul serta perlulah beradab dengan meraikan kepelbagaian pendapat kerana  tindakan tersebut mencerminkan keperibadian masyarakat Malaysia.

Tambah beliau, antara caranya adalah dengan mencintai dan menguasai bahasa Melayu dengan baik selain bergaul mesra dengan masyarakat berbilang kaum atau dengan menulis pandangan tentang isu semasa dalam bahasa Melayu sebagaimana yang telah tersiar dalam akhbar perdana di Malaysia seperti majalah terbitan DBP dan Utusan Malaysia.

Kedua-dua ahli panel juga bersetuju bahawa langkah pertama untuk memupuk semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam diri masyarakat bermula dari rumah masing-masing.

Dalam Rancangan DBP di Sana Sini: Wacana Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita, YBrs. Dr. Muhammad Kahirulrijal Mohamad Saad, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPGM Kampus Tuanku Bainun pula bertindak selaku moderator.

YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP  ketika berucap merasmikan Rancangan DBP di Sana Sini: Wacana Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita.

Terdahulu, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP dalam ucapan perasmian pula berkata;

Tugas untuk memperkasakan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan bukanlah tugas DBP semata-mata tetapi tugas semua orang yang mengakui dirinya rakyat Malaysia.

YBrs. Dr. Muhammad Kahirulrijal Mohamad Saad, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPGM Kampus Tuanku Bainun bertindak selaku moderator.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.