Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Norfazfrie Isquandy Nurol
Kuching – Sebanyak 31 orang guru di Kuching menyertai Bengkel Pemantapan Pengajaran Tatabahasa Bahasa Melayu bersempena dengan ulang tahun ke-68 DBP di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, baru-baru ini.
Bengkel anjuran DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Muara Tuang, Kuching ini dilaksanakan untuk memberikan pendedahan kepada para guru tentang teknik pengajaran yang berkesan kepada para pelajar khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
Menurut YBrs. Tuan Haji Jais Sahok (Munsyi Bahasa) yang merupakan pembimbing bengkel ini, eksplorasi atau penerokaan data maklumat ilmu secara kendiri sangat penting dalam membina pelajar. Jelas beliau,
Guru perlu bijak dalam merekayasa sesi pengajaran dan pembelajaran semasa di sekolah. Sekiranya guru menginginkan pelajarnya kaya dengan pengetahuan, maka mintalah pelajar itu untuk melakukan eksplorasi.
“Gunakanlah Kamus Dewan atau layari Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) sebagai wadah untuk pelajar melakukan eksplorasi bagi meningkatkan pengetahuan kosa kata bahasa Melayu mereka. Guru juga boleh melaksanakan aktiviti seperti sehari sepatah kata sehinggalah terbinanya kamus pelajar itu sendiri”, jelas beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah sahaja tidak cukup untuk mencakupi semua sukatan pelajaran khususnya dalam bidang tatabahasa.
Oleh itu, jelas beliau, guru perlu mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran di luar waktu sekolah bagi memastikan penyampaian ilmu mencakupi semua aspek tatabahasa.
Selain itu, beliau juga berkongsi tentang teknik SiABiDiBam, yang merupakan akronim bagi perkataan “Siapa”, “Bila”, “Di mana”, “Bagaimana dan Mengapa.
Teknik ini merupakan teknik asas dalam pelbagai aktiviti pembelajaran kemahiran bahasa, termasuklah bacaan pemahaman dan merupakan teknik yang paling ampuh serta dapat digunakan oleh semua orang pada semua peringkat, merentasi semua mata pelajaran.
Sementara itu, YBrs. Puan Dayang Salina Mat Saad, Guru Kanan Bahasa SMK Muara Tuang pada sesi akhir bengkel menyatakan penghargaannya dan beliau sangat berpuas hati dengan teknik pengajaran yang telah dikongsikan.
Saya melihat bengkel ini sangat memberikan manfaat kepada kami, warga pendidik dan teknik yang dikongsikan juga sangat jelas dan mampu memantapkan dan memudahkan para guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran nanti.