Oleh Ezura As'ad Azam
1 Julai 2024, 18:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-68 yang disambut pada 22 Jun saban tahun, DBP Cawangan Sabah telah menganjurkan pertandingan Eksplorasi Bahasa Jiwa Bangsa di Kompleks DBP Cawangan Sabah, baru-baru ini.

Pelaksanaan pertandingan yang melibatkan aktiviti menjejak maklumat sambil menyelesaikan tugasan yang berkaitan dengan bahasa dan sastera ini amat bertepatan dengan ketiga-tiga teras dalam Pelan Strategik DBP, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.

Antara peserta pertandingan yang bekerjasama menyelesaikan eksplorasi pada hari tersebut.

Selain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan peserta dalam bidang bahasa dan sastera kebangsaan, pertandingan ini juga bermatlamat untuk memupuk semangat cinta akan bahasa kebangsaan, di samping meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dalam semua urusan rasmi.

Para peserta menyelesaikan aktiviti suai padan kulit majalah DBP.

Peserta pertandingan ini diwakili oleh tiga orang pegawai bagi setiap pasukan yang terdiri daripada kakitangan jabatan kerajaan dan swasta di sekitar Kota Kinabalu, dan kumpulan mereka dinamakan semula berdasarkan nama pulau di Sabah seperti Mamutik, Mataking, Mantanani, Lankayan dan Kapalai.

Berdasarkan petunjuk yang diberikan, setiap pasukan perlu melepasi enam stesen dan menyelesaikan tugasan tertentu, iaitu lafaz pantun, carian kata bahasa etnik, teka peribahasa, pembetulan kesalahan bahasa, suai padan kulit majalah DBP dan eja Jawi, yang bukan sahaja menguji pengetahuan peserta bahkan turut menggalakkan kerjasama yang padu antara setiap ahli pasukan.

Johan pertandingan dinobatkan kepada pasukan Mataking dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menerima hadiah wang yang bernilai RM900.00, manakala naib johan disandang oleh pasukan Lankayan dari Bahagian Kabinet dan Dasar, Jabatan Ketua Menteri Sabah, yang memenangi hadiah wang yang bernilai RM750.00.

Sementara itu, tempat ketiga pula diraih oleh pasukan Kapalai dari Jabatan Cetak Kerajaan Sabah, yang menerima hadiah wang yang  bernilai RM600.00, manakala dua buah pasukan lain membawa pulang hadiah sagu hati yang bernilai RM300.00 bagi setiap pasukan.

Naib johan disandang oleh pasukan Lankayan dari Bahagian Kabinet dan Dasar, Jabatan Ketua Menteri Sabah.

Semua peserta turut menerima hadiah iringan yang berupa pingat dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh YBrs. Puan Jennitah Noordin, Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah, yang mewakili YBrs. Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah.

Pasukan Kapalai dari Jabatan Cetak Kerajaan Sabah memenangi tempat ketiga yang membawa pulang hadiah wang yang bernilai RM600.00.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.