Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur − Sebanyak 17 buah institusi pengajian tinggi di seluruh negara China menawarkan pembelajaran bahasa Melayu hingga hari ini yang menjadi bukti bahawa negara Tembok Besar itu yakin dengan sistem pendidikan negara ini.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China, YBhg. Datuk Norman Muhamad, kejayaan itu pastinya sukar tanpa usaha Beijing Foreign Studies University (BFSU) yang bertindak sebagai pengasas program Pengajian Bahasa Melayu di China sejak tahun 1961.
Ketika berucap dalam bahasa Melayu bersempena dengan Majlis Konvokesyen BFSU di Beijing, YBhg. Datuk Norman Muhamad berkata,
Mengenang jasa BFSU yang telah tersemai sekian lama, maka perkara ini mendorong kehadiran saya untuk berada di sini bagi menzahirkan ucapan terima kasih kerajaan Malaysia kepada BFSU.
Pada masa yang sama, YBhg. Datuk Norman Muhamad turut menyatakan bahawa program pertukaran pelajar menerusi pelancongan pendidikan perlu dipergiatkan lagi.
Insiatif progam tersebut menurut beliau dapat menggalakkan penghayatan yang lebih mendalam pelajar terhadap aspek bahasa dan budaya sesebuah negara.
Tambah beliau,
Dunia ketika ini berdepan dengan pelbagai cabaran dan isu global, maka pegangan prinsip “Excellence with a Soul” amat penting dalam membina daya tahan negara dan serantau, serta pembentukan dasar yang mampan.
Ujarnya lagi,
Mahasiswa bukan bersandar pada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan aspek sahsiah dan semangat dalam aktiviti kemasyarakatan serta berkongsi kepakaran demi menjadikan dunia lebih baik, selari dengan konsep ‘Komuniti Berkongsi Masa Depan’ yang digagaskan oleh Presiden Xi Jinping.
Sebanyak 3,000 orang graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing termasuklah 35 orang mahasiswa Malaysia dan 22 orang mahasiswa China yang berjaya menamatkan pengajian dalam program Pengajian Melayu di BFSU.
Penempatan Kursi Pengajian Melayu Malaysia–China di BFSU telah bermula sejak tahun 2007 dan kerajaan Malaysia telah mengiktiraf universiti tersebut sebagai Pangkalan Pengembangan Bahasa Melayu di Republik Rakyat China pada tahun 2014.
Antara tetamu yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Perwakilan Beijing, YBrs. Puan Norfarina Mohd Azmee, dan Pengarah Pejabat Education Malaysia–Beijing, YBrs. Encik Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif.