Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Gabungan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Wanita Muslim Bahagian Kuching, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang sentiasa cakna akan keperluan latihan kompetensi kepada setiap ketua kaum dalam penyediaan dokumen rasmi telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan mengadakan Bengkel Kemahiran Berkomunikasi Pengurusan Mesyuarat di Pusat Khidmat N4 Pantai Damai, baru-baru ini.
Sebanyak 19 orang peserta yang terdiri daripada Penghulu dan Ketua Kaum Wanita Muslim di Bahagian Kuching telah menyertai bengkel ini untuk mempelajari ilmu dan teknik pengurusan serta tatacara penulisan minit mesyuarat yang berkualiti.
Bengkel yang dibimbing oleh Puan Dayang Norazan Kartini Pengiran Haji Zain ini telah dibahagikan kepada empat sesi iaitu, sesi pengenalan, persediaan, pengendalian dan pelaporan.
Pada sesi pengenalan, pembimbing menggunakan kaedah 5W1H sebagai pendekatan untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan agar peserta mudah memahami tentang kepentingan dan keperluan sesuatu mesyuarat.
Puan Dayang Norazan Kartini Pengiran Haji Zain juga menerangkan secara jelas dan terperinci tentang persediaan yang perlu dilaksanakan dalam tiga peringkat mesyuarat, iaitu pramesyuarat, semasa mesyuarat dan pascamesyuarat.
Sementara itu, aktiviti secara berkumpulan pula dilaksanakan semasa sesi persediaan, pengendalian dan pelaporan dengan menggunakan kaedah main peranan.
Kaedah ini merupakan suatu pendekatan pengajaran yang memerlukan peserta melakonkan beberapa kemahiran komunikasi berdasarkan situasi yang diwujudkan.
Pendekatan sebegini dikatakan sangat efektif dalam usaha meningkatkan dan membina kemahiran komunikasi, kreativiti, merangsang imaginasi dan meningkatkan motivasi peserta melalui suasana bengkel yang lebih menarik serta menyeronokkan.
Pada akhir bengkel, pembimbing dan para peserta menerima sijil yang disampaikan oleh Encik Sofhi Haji Jebal, Pegawai Pejabat Daerah Kuching.