4 Julai 2024, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan kunjungan hormat dan mesyuarat pelaksanaan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Alor Setar, Kedah yang berlangsung di Dewan Persidangan Al-Wafa, Menara Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), semalam.

Kajian ini juga merupakan satu daripada usaha berterusan DBP dalam mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam semasa bagi menambah baik dan merencanakan pendekatan baharu untuk meningkatkan penggunaannya di tempat awam di seluruh negara.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBrs. Encik Nasrankamil Noh, Setiausaha MBAS ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam di bandar raya Alor Setar, dan mengetahui sikap masyarakat setempat terhadap penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam.

YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP ketika menyampaikan cenderamata kepada YBrs. Encik Nasrankamil Noh, Setiausaha MBAS.

Tahap penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam dilihat dalam empat domain, iaitu papan tanda premis perniagaan, kain rentang, gegantung dan papan iklan luar yang terdapat di kawasan pentadbiran MBAS.

Sementara itu, sikap masyarakat terhadap penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam pula dilihat dari aspek penguatkuasaan, kesetiaan bahasa, kebanggaan bahasa, norma bahasa dan iltizam.

Kajian terhadap tahap penggunaan bahasa kebangsaan tersebut merupakan projek penyelidikan yang dilaksanakan oleh Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP, dan telah dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun ini.

Antara tetamu yang turut hadir dalam mesyuarat itu termasuklah YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP; YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP; YBrs. Encik Mohd. Khairudin Idris, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS; YBrs. Puan Narisa Mohd Hashim, Ketua Bahagian Pelesenan MBAS, dan para pegawai daripada kedua-dua belah pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.