4 Julai 2024, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nurul Haida dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Pengaplikasian Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu untuk Penutur Asing” (2011:330) menyatakan bahawa pembelajaran bahasa yang mengguna pakai teknologi sesungguhnya dapat memotivasikan pelajar untuk terus mendekati dan mendalami pelajaran bahasa Melayu.

Oleh itu, wahana peranti pandang dengar dapat merangsang pancaindera seperti pendengaran dan penglihatan kanak-kanak secara serentak sebagai medium pemerolehan bahasa. Seperti yang kita sedia maklum, kanak-kanak lebih meminati medium kartun dan animasi yang disampaikan menerusi elemen multimedia kerana dapat menarik minat dan merangsang motivasi mereka.

Secara tidak langsung, hal tersebut dapat membantu pemerolehan dan pembelajaran bahasa kanak-kanak kerana bahasa yang digunakan dalam media teknologi seperti kartun lebih padat, ringkas dan bersesuaian dengan laras usia dan kognitif kanak-kanak.

Kanak-kanak bermaksud budak lelaki atau perempuan yang masih kecil (biasanya yang belum berumur lebih daripada tujuh atau lapan tahun (Kamus Dewan Edisi Keempat, 668: 2021). Penggunaan dan penguasaan bahasa kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh persekitarannya sama ada dalaman atau luaran. Bahasa yang diujarkan diperoleh daripada proses peniruan dan pemerhatian. Oleh itu, penguasaan bahasa kanak-kanak juga bergantung pada rangsangan untuk meningkatkan penguasaan bahasa.

Oleh hal yang demikian, penggunaan  laras bahasa Melayu yang betul menerusi medium peranti pandang dengar perlu diutamakan agar kanak-kanak dapat berlatih menghasilkan bunyi-bunyi yang tersusun menurut hukum-hukum bahasa.

Pemerolehan dan Pembelajaran Bahasa

Lain daripada itu, pembelajaran dan pemerolehan bahasa yang berkesan diukur dari sudut cara mempelbagaikan kaedah penyampaian bahasa. Kaedah yang tidak begitu relevan perlu digantikan dengan kaedah yang lebih interaktif. Persis kata peribahasa Melayu, “Zaman beralih, musim bertukar”.

Oleh itu, inovasi serta kaedah teknologi dalam proses pemerolehan dan pembelajaran bahasa perlu dilakukan kerana teknologi mampu memvariasikan pemerolehan bahasa menerusi penggunaan peranti pandang dengar (audio-visual). Lanjutan daripada itu, visual yang berwarna-warni dan bunyi bahasa dapat menarik kanak-kanak agar mudah tertarik dan memahaminya di samping memotivasikan mereka untuk mendalami ilmu bahasa Melayu.

Oleh itu, pemerolehan bahasa kanak-kanak menerusi peranti pandang dengar turut relevan dalam arena pembelajaran bahasa kanak-kanak. Keupayaan peranti pandang dengar yang menggabungkan unsur audio (pendengaran) dan visual (penglihatan) dapat merangsang deria kanak-kanak. Pada waktu yang sama, hal tersebut dapat membantu kanak-kanak memproses serta memahami maklumat dan meningkatkan penguasaan kosa kata.

Merujuk kajian oleh Wan Halizawati Wan Mahmood menerusi kertas kerjanya yang bertajuk “Elemen Positif dan Negatif Program Kartun Alih Bahasa Terhadap Pembelajaran Tidak Rasmi Kanak-kanak di Malaysia” pada tahun 2021, beliau berpendapat bahawa kartun yang dialih bahasa kepada bahasa Melayu mempunyai dialog yang mudah difahami oleh penonton sasaran kerana menggunakan bentuk  perbualan harian.

Contohnya, siri kartun seperti Detective Conan yang dialih bahasa daripada bahasa Jepun kepada bahasa Melayu kebanyakannya dilihat tidak “berbau” terjemahan. Oleh hal yang demikian, peranti pandang dengar merupakan aplikasi pembelajaran bahasa yang secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan dan memperkaya kosa kata kanak-kanak. Kanak-kanak lebih mudah memahaminya dan memaknakan mesej yang disalurkan.

Contoh dialog:
Conan: “Minta maaf, saya nak ke tandas sekejap!”

Menurut Wan Halizawati Wan Mahmood lagi, berdasarkan petikan tersebut, nilai positif diperlihatkan menerusi konsep “minta maaf” dan perkataan “tandas” juga digunakan (berbanding dengan “jamban”). Hal tersebut menggambarkan kesantunan berbahasa dalam pemerolehan bahasa kanak-kanak.

Perkataan “tandas” lebih sopan penggunaannya walaupun merujuk tempat yang sama. Tambahan pula, hampir kebanyakan sekolah di negara ini mengajar penggunaan kata izin “Minta maaf cikgu, saya mahu ke tandas” jika terpaksa keluar dari bilik darjah untuk ke tandas.

Siri Upin Ipin menerusi peranti pandang dengar juga dapat menyalurkan pemerolehan morfologi yang mudah dipelajari dan difahami oleh kanak-kanak. Menerusi pemerolehan dan pembelajaran bahasa Melayu, kanak-kanak lebih banyak menggunakan morfem bebas kerana tumpuan utama dalam pemerolehan kata pada peringkat awal merupakan pemerolehan makna.

Tanpa memperolehi makna, agak sukar bagi kanak-kanak untuk berkomunikasi dengan orang di sekelilingnya. Contohnya, penggunaan bentuk sapaan “kakak” dan “opah” yang dituturkan oleh watak Upin dan Ipin menggambarkan nilai positif, iaitu menghormati orang tua menerusi bahasa sapaan yang kebiasaannya digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Hal tersebut menandakan pemahaman konteks, iaitu mempersembahkan maklumat dalam konteks situasi sehari-hari. Oleh hal yang demikian, bahasa Melayu yang digunakan menerusi medium peranti pandang dengar tersebut mudah difahami dan membantu kanak-kanak menggunakannya dalam kehidupan sebenar. Oleh itu, elemen cerita yang melibatkan interaksi sosial dan emosi turut membantu pembelajaran bahasa dan pemahaman sosial kanak-kanak.

Tuntasnya, model bahasa yang baik menerusi medium peranti pandang dengar dapat membantu kanak-kanak memahami tatabahasa dan struktur kalimat yang tepat. Pembelajaran bahasa menerusi peranti pandang dengar dapat merangsang kemampuan kognitif kanak-kanak, mendorong mereka untuk berfikir secara kritis dan kreatif, serta meningkatkan kemampuan pemahaman bahasa. Hal tersebut sebagaimana medium Upin Ipin yang menggunakan bahasa mudah untuk difahami oleh golongan kanak-kanak.

Sumber: Upin Ipin musim 17.

Kanak-kanak mudah mempelajari bahasa menerusi proses peniruan. Contohnya, watak Upin dan Ipin dinasihati oleh Opah agar menjadi orang yang baik, mendengar kata dan hidup bertanggungjawab.

Mesej yang membawa makna menerusi setiap sebutan dan tatabahasa yang diperhati dan didengar oleh kanak-kanak tersebut dapat dipraktikkan mengikut situasi dan ditiru. Peniruan merupakan proses penting dalam pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak.

Menerusi medium siri Upin Ipin, kanak-kanak yang pada mulanya melihat atau mendengar model melakukan sesuatu akan menghasilkan peniruan langsung. Setelah kanak-kanak menguasai bahasa yang didengari dan dituturkan, mereka akan mempraktikkannya dalam kehidupan nyata.

Menurut Barbara dalam Children and Communication: Verbal and Non-Verbal (1976:105), kata yang dipelajari oleh kanak-kanak lebih merupakan morfem bebas dan morfem terikat.

Lanjutan daripada itu, dalam penguasaan dan pemerolehan bahasa, peniruan berlaku menerusi deria lihat dan deria dengar sama ada secara bersendiran atau gabungan dengan deria yang lain.

Pemerhatian difokuskan pada gerak laku mulut serta alat-alat artikulasi semasa model melakukan ujaran. Kanak-kanak akan memberikan pemerhatian kepada cara penyebutan, kemudian menyimpan dan menzahirkannya secara berulang-ulang.

Menurut Mahzan Arshad menerusi kajiannya yang bertajuk “Pendidikan Literasi Bahasa Melayu – Strategi Perancangan dan Pelaksanaan” (2008) menyatakan bahawa penerimaan maklumat menerusi deria penglihatan merangkumi 83 peratus daripada keseluruhan deria yang digunakan oleh pelajar. Lantas maklumat yang dicerap lebih berkesan sekiranya teknologi digunakan dalam pembelajaran bahasa untuk merangsang kefahaman pelajar.

Seterusnya, menerusi medium lagu kanak-kanak berbahasa Melayu seperti Mari Mengira menyebabkan kanak-kanak dapat mempelajari kosa kata bahasa Melayu yang berkaitan dengan aktiviti mengira.

Contohnya, nombor, digit, angka genap, angka ganjil dan sebagainya yang digunakan dalam pelbagai konteks pemerolehan dan pembelajaran bahasa dapat membantu kanak-kanak memahami dan menguasai konsep mengira. Lantas apabila teknologi digunakan dalam pemerolehan bahasa, kanak-kanak lebih memahami kerana melihat gambar, mendengar dialog, dan tingkah laku orang di dalam video yang dipaparkan.

Di samping itu, mereka juga tahu bagaimana untuk mengadaptasikan video tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Oleh hal yang demikian, menerusi peranti pandang dengar, kanak-kanak terdedah kepada pelbagai perkataan dan frasa baharu dalam konteks yang bermakna sehingga membantu mengembangkan kosa kata mereka.

Sumber: Lagu Kanak-kanak Mari Mengira.

Intihanya, pelbagai medium yang bersesuaian dengan aras kognitif dan usia kanak-kanak menerusi peranti pandang dengar merupakan wahana efektif untuk pembelajaran bahasa Melayu yang menyeronokkan. Oleh hal yang demikian, pilihan kandungan yang relevan serta bahasa Melayu yang jelas dan betul seharusnya sesuai dengan usia kanak kanak. Secara tidak langsung, pemerolehan dan pembelajaran bahasa kanak-kanak menerusi medium peranti pandang dengar dapat membantu melestarikan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi baharu.

 

Profesor Madya Dr. Roslina Abu Bakar merupakan pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.