5 Julai 2024, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala LumpurKurikulum Standard Bahasa Melayu (KSBM) merupakan suatu dokumen rujukan bagi menentukan piawaian atau tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa Melayu.  

Sehubungan dengan itu, Wacana Profesional KSBM yang pertama kali dianjurkan oleh Akademi DBP ini bertujuan untuk menjelaskan dengan lebih lanjut perihal KSBM kepada khalayak diadakan di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Aras 2, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tiga orang panel dijemput untuk wacana ini yang terdiri daripada  YBrs. Dr. Zanariah Ibrahim, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), YBrs. Dr. Mazlan Ismail, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) dan YBrs. Tuan Haji Khaidir Othman, Lembaga Peperiksaan, serta dikendalikan oleh YBrs. Dr. Rusmadi Baharuddin, Pengarah Jabatan Pembinaan, DBP sebagai moderator.

Menurut YBrs. Dr. Zanariah, KSBM dibangunkan untuk mengukur aras penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa Melayu mengikut tahap kompetensinya.

Jelas beliau,

Apabila sudah ada piawaian dalam mengukur standard kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa Melayu, maka penentuan tahap penguasaan bahasa Melayu oleh pengguna bahasa Melayu dapat disetarakan berdasarkan kayu ukur yang sama.

Beliau juga menegaskan bahawa KSBM menjadi rujukan untuk penggubalan kurikulum, pentaksiran dan modul latihan berbahasa Melayu.

Sementara itu, YBrs. Dr.  Mazlan Ismail pula menjelaskan bahawa KSBM bukanlah kurikulum, tetapi hanya dokumen yang menjadi rujukan dalam membangunkan kurikulum berdasarkan empat kemahiran dalam berbahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Panel ketiga, iaitu YBrs. Haji Khaidir pula menerangkan bahawa konstruk yang ditaksirkan ialah pengetahuan dan kemahiran berbahasa, kemahiran lisan yang merangkumi kemahiran mendengan dan bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis.

Menurut beliau, semua elemen ini digunakan untuk mentaksirkan pemerolehan, penguasaan dan pencapaian murid dalam keupayaan untuk pengetahuan (aspek bahasa), kemahiran bahasa dan nilai.

Antara yang turut hadir dalam wacana ini termasuklah YBrs. Encik Zulfa Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP; YBrs. Encik M Azahari Edin, Pengarah Penerbitan DBP; wakil IPGM dan Lembaga Peperiksaan, guru-guru, pegawai DBP, para pelajar institusi pengajian tinggi dan pencinta bahasa.

DBP selaku  penganjur wacana dan urus setia Jawatankuasa Penarafan KSBM turut mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam usaha untuk menyebarkan penggunaan KSBM dan menjadi rujukan utama dari pelbagai sudut yang melibatkan bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.