7 Julai 2024, 11:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kota Kinabalu Semarak Bahasa Kebangsaan melalui Audit Bahasa Sektor Awam dilaksanakan bagi meneliti tahap dan mutu penggunaan bahasa kebangsaan khususnya melalui paparan awam.
Tahap penggunaan bahasa yang digunakan dilihat dari aspek penggunaan bahasa Melayu dan bahasa lain, iaitu penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya, penggunaan bahasa lain (selain bahasa Melayu) sepenuhnya dan penggunaan bahasa bercampur, iaitu percampuran bahasa Melayu dengan bahasa lain.
Selain itu, mutu bahasa Melayu yang digunakan diaudit dari aspek kesalahan bahasa yang ditemukan dalam dokumen yang diaudit, iaitu ejaan, tanda baca, kosa kata, ayat dan kesantunan (adab).
Oleh yang demikian, Semarak Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan tersebut merupakan satu daripada komponen Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024 Peringkat Negeri Sabah yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.
Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana DBK Tahun 2024 telah diadakan pada 12 Mac 2024 yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah telah bersetuju dengan pelaksanaan Audit Bahasa Sektor Awam yang melibatkan 14 kementerian dan jabatan di negeri Sabah.
Antaranya termasuklah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Penerangan Sabah dan Jabatan Penyiaran Sabah.
Kesemua kementerian dan jabatan tersebut selesai melalui proses pengauditan bermula pada 16 Mei 2024 dan berakhir pada 27 Jun 2024.
Empat orang juruaudit dilantik dan mereka terdiri daripada Encik Muziat Yusof, mantan Penolong Pengarah, DBP Cawangan Sabah, Encik Mohd. Farik Madun, Munsyi Bahasa, Puan Maslijan Abd. Rasad dan Encik Ahmad Fazly Sahar dari DBP Cawangan Sabah.
Proses pengauditan dimulakan dengan Mesyuarat Pembukaan Audit Bahasa Sektor Awam di setiap kementerian dan jabatan serta diikuti dengan sesi lawatan ke lokasi awam seperti kaunter pertanyaan, papan kenyataan, bilik mesyuarat, surau, kantin, dan ruang tempat letak kenderaan bagi melihat paparan awam.
Setiap kementerian dan jabatan juga diminta menyediakan rakaman video yang berdurasi lima hingga 10 minit mengenai program rasmi yang dianjurkan setiap kementerian dan jabatan seperti perhimpunan bulanan, mesyuarat, bengkel atau lain-lain bagi melihat dari aspek sebutan dan laras bahasa yang santun dan penggunaan bahasa baku.
Sesi pengauditan berakhir dengan Mesyuarat Penutupan bagi melaporkan penemuan pengauditan kepada pihak pengurusan di setiap kementerian dan jabatan.
Hasil audit ini diharapkan dapat memberikan gambaran dan maklumat semasa yang terkini tentang pelaksanaan DBK yang berkaitan dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran awam khususnya di negeri Sabah.
Laporan Audit Bahasa Sektor Awam ini akan diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, dan diharapkan agar pihak kementerian dan jabatan dapat merancang strategi dan program jangka panjang serta jangka pendek untuk melaksanakan dasar tersebut.
DBP akan memberikan pengiktirafan kepada kementerian dan jabatan yang telah menunjukkan usaha yang tinggi dalam pemartabatan bahasa kebangsaan semasa Majlis Penutupan Dekad Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sabah yang akan diadakan pada bulan Oktober 2024.
Para juruaudit dari DBP Cawangan Sabah yang terlibat dalam proses pengauditan bahasa sektor awam.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.