17 Julai 2024, 19:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi– “Persidangan Linguistik ASEAN ke-6 2024 ini berjaya menghimpunkan penyertaan empat buah negara, iaitu Malaysia selaku tuan rumah, Indonesia, Singapura dan Brunei. Persidangan ini dapat memperkasakan penyelidikan dan meneroka bidang bahasa dan linguistik pada peringkat global dan juga dapat mengukuhkan keilmuan bahasa, sastera dan budaya antara Negara ASEAN.”

Demikian inti pati ucapan oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, iaitu Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semasa merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Linguistik ASEAN VI 2024 bertempat di Bilik Majlis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada petang ini.

Tambah beliau;

Saya amat gembira dan berbesar hati kerana Persidangan Linguistik ASEAN kali ke-6 2024 ini berjaya menghimpunkan para penyelidik dan pencinta bahasa dengan mengumpulkan lebih 70 kertas korpus pemakalah atau pembentang dari pelbagai negara untuk berkongsi dan memperkembangkan ilmu pengetahuan serta menyalurkan hasil penyelidikan merentas disiplin. Inilah sarana yang terbaik dalam proses pertukaran pengetahuan yang menggalakkan perbincangan secara ilmiah, berkongsi hasil penyelidikan dan membangunkan kolaborasi dan jaringan pendidikan antara empat negara yang terlibat. Interaksi istimewa ini merembeskan rangsangan serta merangsang pertumbuhan intelektual dan profesional pada peringkat linguistik global.

“DBP akan terus memberikan sokongan penuh kepada mana-mana pihak yang berusaha untuk mengangkat penyelidikan dalam bidang bahasa dan linguistik melalui penganjuran persidangan seumpama ini.”- YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Terdahulu, YBrs. Dr. Rozaimah Rashidin, iaitu Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia merangkap Pengarah Bersama PLA VI 2024 dalam ucapannya berkata bahawa sumbangan semua pembentang, pemakalah dan peserta Persidangan Linguistik ASEAN kali ke-6 ini amat bermakna dalam meraikan kepelbagaian linguistik di rantau ASEAN kerana dapat memberikan impak kepada dunia bahasa dan linguistik.

Semoga kerjasama yang terjalin akan terus berkembang dan membawa manfaat kepada semua pihak dalam mengukukuhkan kerjasama antara negara ASEAN.

“Persidangan Linguistik ASEAN ke-6 ini amat bermakna dalam meraikan kepelbagaian linguistik di rantau ASEAN kerana dapat memberikan impak kepada dunia bahasa dan linguistik.” – YBrs. Dr. Rozaimah Rashidin.

Persidangan Linguistik ASEAN VI 2024 anjuran Persatuan Linguistik Malaysia (PLA), DBP, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM dan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 16 Julai 2024 dan 17 Julai 2024 di UKM.

Yang turut hadir dalam majlis penutup persidangan ini ialah YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, iaitu Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, merangkap Ahli Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan juga selaku Pengerusi Bersama PLA ke-6 2024; YBrs. Dr. Junaini Kasdan selaku Timbalan Pengarah ATMA, tetamu kehormat, para pembentang, para undangan dan peserta seminar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.