Oleh Nazrul Aziz
18 Julai 2024, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bagi menyebarluaskan ilmu pengacaraan kepada penjawat awam,  Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) baru-baru ini menganjurkan program Akademi Pengacaraan Perkhidmatan Awam yang turut menjadi sebahagian daripada program pembangunan pascapentauliahan Munsyi Muda Bahasa.

Sebanyak 38 orang dari pelbagai kementerian dan jabatan yang berkhidmat sebagai penjawat awam bersua dan bersama-sama mendalami ilmu pengacaraan majlis dalam program yang diadakan di Auditorium INTAN, Jalan Elmu.

Para peserta didedahkan kepada penggunaan bahasa yang tepat dalam penulisan dan pengacaraan majlis menerusi program Akademi Pengacaraan Perkhidmatan Awam yang diadakan di Auditorium INTAN, Jalan Elmu.

Program yang julung-julung kali dianjurkan oleh INTAN itu disertai oleh penjawat awam dari pelbagai kementerian atau jabatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Belia dan Sukan; Jabatan Penerangan; Kementerian Pendidikan; Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor.

INTAN selaku penganjur program berkenaan percaya bahawa sebagai pusat latihan sektor awam, pihaknya bertanggungjawab untuk menyediakan platform penambahbaikan komponen majlis kerajaan melalui pembangunan pengacara majlis awam yang berkualiti.

Walaupun para peserta yang hadir terdiri daripada latar belakang dan jabatan yang berbeza, namun persamaan minat dan kepakaran dalam pengacaraan majlis menjadi kunci kebersamaan setiap peserta.

Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai ilmu pengacaraan seperti kepersisan bahasa dalam pengacaraan majlis, penyediaan teks pengacaraan, penetapan nada suara, pengawalan majlis serta keterampilan pengacara.

Yang lebih menarik, sebanyak 20 orang peserta telah terpilih untuk berentap di gelanggang Sayembara Pengacaraan Perkhidmatan Awam pada sesi akhir program berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.