Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Encik Mohammed Shahril Sarapudin dari Jabatan Penyiaran Malaysia telah dinobatkan sebagai Johan Sayembara Pengacaraan Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Sayembara tersebut memperlihatkan kehebatan dan kemahiran pengacara majlis yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dalam menggunakan bahasa Melayu yang tepat tanpa mengurangkan keindahan dan kepuitisan bahasa.
Selepas melalui proses saringan dan pemilihan, sebanyak 20 orang peserta dari Akademi Pengacaraan Perkhidmatan Awam layak untuk menyertai sayembara tersebut dan diuji dengan dua peringkat.
Pada peringkat pertama, para peserta dinilai berdasarkan vokal, ton, diksi, tempo, bahasa dan penampilan ketika sesi penyampaian teks majlis rasmi yang dipilih sendiri oleh mereka.
Peringkat kedua pula merupakan peringkat yang mencabar kemahiran setiap peserta yang memerlukan mereka mengacarakan majlis rasmi secara spontan dan diuji melalui beberapa gangguan seperti bekalan elektrik terputus, gangguan haiwan liar dan keadaan yang tidak terkawal.
Sepanjang sayembara tersebut berlangsung, elemen bahasa seperti tatabahasa, sebutan, kosa kata dan struktur ayat sangat dititikberatkan dalam penjurian kerana selain mencari pemenang, sayembara berkenaan turut diadakan bagi mengangkat penggunaan bahasa Melayu dalam pengacaraan, terutamanya dalam perkhidmatan awam.
Tiga orang hakim yang sangat berpengalaman luas dalam bidang pengacaraan telah diundang bagi memilih pemenang dalam sayembara tersebut, iaitu Pengacara, Personaliti Televisyen dan Pempengaruh Media Sosial, Encik Ahmad Fedtri Yahya selaku ketua juri, Munsyi Muda Bahasa, Encik Ahmad Burhan Sidqi Dato’ A. Rahim dan Timbalan Ketua, Unit Korporat dan Antarabangsa, INTAN, Puan Anis Rohayu Remli.
Naib Johan Sayembara Pengacaraan Perkhidmatan Awam Tahun 2024 telah dimenangi oleh wakil dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Puan Nur Eleyda Ezani, manakala tempat ketiga menjadi milik Encik Akmal Shahmeen Ahamad Sabarudin dari Perpustakaan Negara.
Sementara itu, wakil dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, Encik Fauzi Jamikah mendapat tempat keempat, manakala Puan Lyn D’Amor Buquing yang mewaliki Jabatan Kebajikan Masyarakat pula mendapat tempat kelima.
Sesi penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Penilaian Program dan Potensi), INTAN, Encik Rulis Harun dalam Majlis Penutupan Rasmi Akademi Pengacaraan Perkhidmatan Awam.