Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol
Kuching – Bengkel Pemerkasaan Forum Pelajar yang diadakan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak bersempena dengan Festival Bahasa dan Sastera 2024 Peringkat Negeri Sarawak bertujuan untuk memberikan pemahaman tentang konsep forum bagi memperkasakan kaedah berforum yang lebih efektif.
Bengkel yang telah dikendalikan oleh dua orang pegawai dari DBP Cawangan Sarawak, iaitu Puan Askhairunisa Alwi dan Puan Intan Nur-Izzati Shabri itu telah disertai oleh 14 buah sekolah terdiri daripada guru pembimbing dan pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina Sarawak.
Menerusi bengkel berkenaan, guru pembimbing dan pelajar berupaya untuk memahami secara lebih mendalam mengenai kriteria penilaian dalam forum, misalnya kaedah pengendalian forum yang berkesan, isi dalam forum, bahasa yang baik dan pemilihan diksi yang sesuai dalam forum.
Semasa sesi penerangan bersama-sama Puan Intan Nur-Izzati Shabri, beliau menyatakan bahawa forum merupakan suatu sesi perbincangan yang melibatkan beberapa ahli panel untuk mencanai fikiran dan mengemukakan pendapat tentang sesuatu tajuk, sekali gus mengeluarkan idea secara kritis dan rasional bersesuaian dengan kupasan tajuk yang dibincangkan.
Sementara itu, Puan Askhairunisa Alwi menegaskan bahawa aspek bahasa merupakan elemen penting dalam penghakiman selain aspek pengendalian forum kerana aspek bahasa terbahagi kepada empat pecahan markah yang perlu diberikan perhatian, iaitu sebutan (20 markah), tatabahasa (10 markah), diksi (lima markah) dan pautan idea (lima markah).
Tambah beliau, sebutan baku akan menjadi mudah sekiranya asas fonemik menjadi keutamaan dalam menyebut sesuatu perkataan seperti yang dinyatakan dalam buku Phonemics (1943:57) yang ditulis oleh K.L Pike, iaitu:
Kata-kata dieja sebagaimana disebut dan disebut sebagaimana dieja. Tiada huruf yang senyap.
Sepanjang bengkel tersebut berlangsung, guru pembimbing dan para peserta yang terlibat memberikan sepenuh perhatian dengan sesi perkongsian mengenai ilmu forum yang diberikan oleh kedua-dua penceramah.