Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), telah menganjurkan Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa Siri Khas MITI pada 15 hingga 19 Julai 2024 bertempat di Dewan Perdana, Menara MITI, Kuala Lumpur.
Kursus ini menyahut seruan kerajaan pada Mac 2022 untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa dan dalam perkhidmatan awam melalui Ceraian PO.1.1.1 MyPPSM: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam.
Sebanyak 22 orang peserta telah menghadiri kursus tersebut yang terdiri daripada Pustakawan, Pegawai Tadbir, Pegawai Undang-undang dan Pegawai Perhubungan Awam yang bertugas di MITI.
Mereka mendapat bimbingan daripada Munsyi Dewan, Puan Hasnah Mohd. Salleh dan pada hari terakhir kursus, peserta menduduki Ujian Pemantapan Bahasa yang akan menentukan kelayakan mereka untuk ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa.
Pembukaan kursus telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Khidmat Pengurusan MITI, Puan Nor Kamisah Che Daud,
Dalam ucapannya, Puan Nor Kamisah menyeru para peserta agar memanfaatkan ilmu kebahasaan yang diperoleh sepanjang kursus dalam setiap urusan MITI demi memelihara kualiti bahasa kebangsaan di kementerian tersebut.
“Walaupun sebahagian besar dokumen yang dihasilkan di MITI dalam bahasa Inggeris memandangkan portfolio kementerian yang berteraskan perdagangan, namun tidak kurang juga yang dihasilkan dalam bahasa Melayu. Maka itu, dalam dokumen yang berbahasa Melayu itulah kualitinya perlu dipelihara,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Pengembangan Bakat dan Kepakaran DBP Puan Murjana@Norjanah binti Yusof; Encik Sharizul Razli Seth dari DBP dan Encik Mohamad Ikhwan Al Syahid Abdullah Tahir dari INTAN.