Diterbitkan pada 26 Julai 2024, 09:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak orang asli dilihat semakin meningkat berbanding dahulu, namun tetap menghadapi pelbagai cabaran dalam menguasai bahasa Melayu.

Demikian pemakluman yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik, YBrs. Dr. Abd Hadi Kudin ketika ditemu bual dalam slot Cakna Bahasa menerusi saluran Bernama Radio, semalam.

Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Pendidikan Teknik, YBrs. Dr. Abd Hadi Kudin ketika ditemu bual dalam slot Cakna Bahasa menerusi saluran Bernama Radio.

Dalam sesi temu bual itu, beliau menyatakan bahawa masyarakat orang asli telah menerima perubahan dan pembaharuan melalui teknologi yang menyebabkan bahasa yang digunakan oleh mereka kelihatan mula bercampur berbanding sebelum ini yang hanya menggunakan bahasa asal mereka sepenuhnya.

Ujar beliau,

Berdasarkan kajian lapangan dalam kalangan masyarakat orang asli Semai, saya melihat segelintir daripada mereka mula menggunakan kata pinjaman dalam perbualan harian, namun bahasa Semai masih digunakan sepenuhnya dalam komunikasi mereka.

Beliau juga berkata, orang asli sangat setia terhadap bahasa Ibunda masing-masing, sekali gus menyebabkan tahap penguasaan bahasa Melayu mereka agak rendah dan secara tidak langsung menyebabkan mereka mengalami kesukaran dalam proses pelajaran dan pembelajaran kerana kanak-kanak orang asli belajar di sekolah kebangsaan yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Melayu.

Jelas beliau,

Berbeza dengan kaum lain yang belajar di sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing, kanak-kanak orang asli perlu bergelut untuk mendapatkan pendidikan dengan menggunakan bahasa pengantar yang bukan bahasa pertama mereka.

Katanya, pelajar orang asli juga lebih gemar berada dalam kelompok mereka dan kurang bergaul dengan orang lain mengakibatkan kosa kata bahasa Melayu mereka terhad dan tidak bertambah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi