27 Julai 2024, 18:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tawau – Sekolah Menengah Tshung Tsin, Sabah telah merangkul johan Pertandingan Forum Pelajar 2024 Peringkat Negeri Sabah pada edisi kali ini yang berlangsung di Sekolah Tinggi Cina Sabah, Tawau.

Sekolah Menengah Tshung Shin Johan Pertandingan Forum Pelajar 2024 Peringkat Negeri Sabah

Naib johan pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Kian Kok manakala tempat ketiga pula telah disandang oleh pasukan tuan rumah, iaitu Sekolah Tinggi Cina Sabah.

Ahli panel dari Sekolah Menengah Kian Kok, Amanda Yeo Zi Qi telah dinobatkan sebagai Ahli Panel Forum Terbaik manakala Chin Fook On dari Sekolah Menengah Tshung Tsin Sabah telah dipilih sebagai Pengerusi Forum Terbaik.

Amanda Yeo Zi Qi dinobatkan sebagai pemenang Ahli Panel Forum Terbaik.
Pengerusi Forum Terbaik milik Chin Fook On.

Johan pertandingan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1000.00 dan piala pusingan sumbangan Ketua Menteri Sabah, naib johan menerima wang tunai bernilai RM750.00 dan tempat ketiga pula menerima wang tunai bernilai RM500.00. Setiap pemenang juga turut menerima sijil penghargaan serta buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menurut YBrs. Dr. Azizul bin Haji Ismail, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, pertandingan forum pelajar merupakan satu wadah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar.

Hal ini sejajar dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi mempersatukan rakyat serta bahasa ilmu.

Demikian ucapan alu-aluan beliau bersempena dengan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Forum Pelajar 2024 Peringkat Negeri Sabah.

Encik Said Hassan Said Idrus berkata, pertandingan forum pelajar ini menunjukkan iltizam pihak kerajaan untuk terus bersama-sama memperkasa dan memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Usaha ini dapat memberikan kesedaran kepada anak bangsa tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan khususnya dalam pembinaan negara bangsa yang berbilang kaum, agama, bangsa dan budaya.

Beliau ialah Ketua Pegawai Perhubungan, Pejabat Ahli Parlimen Tawau yang mewakili Yang Berhormat Datuk Lo Su Fui.

Penjurian pada sesi ini diketuai oleh Puan Julianah Kuli, Timbalan Pengarah II, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah serta Encik Muziat Yusof, mantan Penolong Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dan Encik Mohd Farik Madun, Munsyi Dewan (Bahasa).

Program ini diadakan secara tahunan dengan kerjasama Kumpulan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Menengah Cina Persendirian Sabah (Dong Zong Sabah).

Sebanyak sembilan buah Sekolah Menengah Persendirian Cina di seluruh negeri Sabah telah menyertai pertandingan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.