Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBelaga – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Bangsa Sekapan (PBS) telah mengadakan Bengkel Pengesahan Daftar Kata Bahasa Sekapan–Bahasa Melayu di Pejabat Daerah Belaga pada 23 Julai 2024 hingga 25 Julai 2024 lalu.
Bengkel yang diadakan selama tiga hari itu bertujuan untuk mengesahkan kosa kata bahasa Sekapan yang telah dikumpulkan oleh rakan penyelidik daripada etnik itu sendiri dalam kerja memurnikan manuskrip daftar kata tersebut dan seterusnya diterbitkan.
Pengerusi Persatuan Bangsa Sekapan, Encik Erick Drenner Dangan berkata, pihaknya berasa teruja dengan sinergi antara PBS dengan DBP Cawangan Sarawak untuk mendokumentasikan bahasa Sekapan memandangkan etnik Sekapan merupakan satu daripada etnik minoriti dan sudah tentu tidak banyak penuturnya.
Ujar beliau,
Pihak persatuan berharap Daftar Kata Bahasa Sekapan–Bahasa Melayu dapat diterbitkan dengan segera bagi membolehkan generasi Sekapan menjadikan daftar kata tersebut sebagai rujukan dan mengelakkan bahasa Sekapan daripada hilang ditelan zaman.
Antara matlamat lain dalam pendokumentasian bahasa etnik yang diadakan adalah untuk memelihara bahasa tersebut daripada pupus dan memperkaya perbendaharaan bahasa Melayu melalui penyerapan perkataan etnik yang sesuai.