Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Bengkel Pengacaraan dan Penulisan Skrip bersempena dengan aktiviti Dekad Bahasa Kebangsaan telah diadakan di Menara Usahawan, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 13 Ogos 2024 hingga 14 Ogos 2024.
Bengkel tersebut disertai oleh 44 orang peserta dari 26 bahagian di KPM termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Bengkel berkenaan dikendalikan oleh lima orang pembimbing profesional dan berpengalaman luas dalam bidang ini, iaitu Ketua Penolong Pengarah BPLTV, YBrs. Dr. Noor Mala Othman; Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Puan Illy Nadia Barudin; Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, DBP, YM Tengku Fauziah Ku Mat; Pensyarah Kolej Vokasional Melaka Tengah, Encik Rosmainy Gulam Mohd dan Jurulatih Seni Budaya Negara (Teater dan Seni Berbahasa), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tuan Sheikh Shuhaimi Sheikh Abdul Rahim.
“Para peserta diharapkan dapat memanfaatkan ilmu yang telah disampaikan dalam bengkel ini agar bakat dalam bidang pengacaraan akan terus digilap dalam diri peserta,” kata YBrs. Dr. Noor Mala Othman.
Tambah beliau, bidang pengacaraan amat berkaitan rapat dengan aspek bahasa dan kesantunan ketika menyampaikan sesuatu perkara oleh seseorang pengacara.
Ujar beliau,
Ilmu khusus yang lain seperti asas komunikasi, pengurusan tekanan dalam dan luar pengacaraan, ilmu bahasa, etika sebagai pengacara, pemahaman tentang protokol, tatacara dan pengurusan majlis, kawalan intonasi suara dan suasana serta penerbitan buku dan penulisan teks berupaya melengkapkan pakej bagi seseorang pengacara.
Majlis Penutupan Bengkel Pengacaraan dan Penulisan Skrip telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Kurikulum TVET, Puan Rahmah Sa’aid.
Katanya,
Para peserta diharapkan agar terus melaksanakan tugas mengacara dengan penuh minat dan kesungguhan serta berusaha meningkatkan kemahiran dalam bidang ini kerana manfaat yang diperoleh bukan sahaja untuk para peserta, malah meningkatkan citra KPM.
Pada sesi akhir bengkel, para peserta perlu menghasilkan sebuah manuskrip lengkap yang mengandungi skrip pelbagai jenis majlis yang telah ditetapkan oleh BPLTV dan perlu diserahkan kepada urus setia BPLTV selewat-lewatnya pada 30 Ogos 2024.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian PERMATA, Encik Mohamad Faizal Borhan.