Oleh Zaiton Zakarya
24 Ogos 2024, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Pemugaran Munsyi Dewan (Bahasa) yang diadakan di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama dua hari, bermula pada 22 dan 23 Ogos 2024 bertujuan untuk menyemarakkan peranan Munsyi Dewan (Bahasa) serta DBP dalam memperkasakan bahasa Melayu di seluruh Malaysia, bahkan mengembangkan bahasa Melayu hingga luar negara.

Program yang melibatkan Munsyi Dewan (Bahasa) Fasa Tujuh dan beberapa orang munsyi fasa baharu itu adalah penting untuk mengekalkan ketekalan kompetensi munsyi dalam mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu, sama ada dalam sektor awam ataupun sektor swasta.

Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa beliau amat menghargai usaha Munsyi Dewan (Bahasa) dan menggalakkan penganjuran program seumpama ini diadakan kerana program ini merupakan satu usaha yang komprehensif dalam mengembangkan bahasa Melayu.

Istilah pemugaran merujuk usaha memelihara dan memperbaharui, namun dalam konteks ini, pemugaran merangkumi usaha untuk memastikan bahasa Melayu kekal relevan dan terus berkembang dalam kalangan masyarakat.

Selain bertujuan untuk mengukuhkan jaringan antara Munsyi Dewan (Bahasa) di seluruh negara, program tersebut juga membolehkan mereka saling bertukar pandangan dan pengalaman serta bekerjasama dalam usaha memartabatkan bahasa.

Sebanyak 23 orang peserta hadir dalam program berkenaan termasuklah dari Perlis dan Sarawak bagi memenuhi inisiatif yang diketengahkan oleh ahli Munsyi Dewan (Bahasa) Fasa Tujuh demi menyemarakkan dan mengembangkan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Dr. Amir Juhari yang bertindak sebagai Pengerusi Persatuan Munsyi Dewan (Bahasa) Fasa Tujuh dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Munsyi Dewan (Bahasa) Fasa Tujuh serta semua ahli memainkan peranan bagi menjayakan program tersebut.

Munsyi Dewan merupakan gelaran yang diberikan kepada individu yang dilantik dan diiktiraf oleh DBP yang menjadi pakar rujuk bahasa Melayu bagi membantu DBP dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu.

Sepanjang dua hari program tersebut berlangsung, pelbagai aktiviti dilakukan termasuklah ceramah penerbitan buku bahasa, lawatan kerja ke kawasan DBP dan diskusi bahasa.

Program ini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan bahasa Melayu, malah menjadi medan bagi membincangkan isu terkini tentang kebahasaan.

Penolong Ketua Akademi DBP, YBrs. Dr. Faezah Muhayat berkata, beliau terharu atas semangat dan pengorbanan semua Munsyi Dewan (Bahasa) yang datang dari jauh untuk bersama-sama menyertai program ini.

Tambah beliau,

Diharapkan program yang dilaksanakan ini menjadi satu titik permulaan untuk ahli Munsyi Dewan (Bahasa) terus bekerjasama dalam merencanakan program lain yang bersesuaian pada masa akan datang.

Pada hari pertama program, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, YM Tengku Fauziah Ku Mat berkongsikan penerangan tentang penyediaan manuskrip lengkap yang merangkumi tiga bahagian, iaitu bahagian bahan awalan, bahagian bahan teks dan bahagian bahan akhiran kepada para peserta.

Dalam sesi ceramah penerbitan buku bahasa ini, para peserta didedahkan kepada proses dan kaedah untuk menerbitkan buku di DBP dan diberikan peluang untuk mendalami aspek dalam penerbitan buku secara lebih terperinci.

Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, YM Tengku Fauziah Ku Mat ketika menyampaikan ceramah kepada para peserta yang menyertai Program Pemugaran Munsyi Dewan (Bahasa).

Pada sebelah petang pula, para peserta dibawa melawat ke Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk memberikan pendedahan kepada para peserta tentang proses peristilahan dan leksikografi dijalankan.

Pegawai DBP yang bertugas di bahagian ini telah berkongsikan fungsi Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, proses penciptaan istilah, kepentingan istilah dan produk istilah serta menunjukkan cara penggunaan pangkalan data istilah dan mengakses pangkalan tersebut.

Semasa lawatan itu juga, para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu tentang proses peristilahan dan leksikografi, malah menyedari betapa pentingnya peranan DBP dalam memastikan bahasa Melayu terus berkembang dan relevan dalam dunia moden kini.

Sesi perkongsian oleh Pegawai Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP.

Seterusnya, peserta program dibawa ke Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan yang bertanggungjawab untuk memastikan penerbitan di DBP berjalan dengan lancar dan berkualiti.

Lawatan ke bahagian ini memberikan peluang kepada para peserta untuk memahami proses penerbitan buku dan bahan lain yang dihasilkan oleh DBP serta melihat tugas yang dilakukan oleh editor dalam memastikan naskhah yang diterbitkan berkualiti.

Menerusi lawatan ini, para peserta memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang dunia penerbitan serta kesedaran tentang pentingnya peranan DBP dalam memajukan bahasa dan sastera Melayu di Malaysia.

Sebahagian Munsyi Dewan (Bahasa) bergambar bersama-sama Pegawai Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan, DBP.

Pada hari kedua program, sesi diskusi bahasa memberikan ruang kepada Munysi Dewan (Bahasa) untuk berbincang dan bertukar pandangan tentang isu yang dikemukakan, misalnya tatabahasa, bahasa dan berkaitan dengan peranan munsyi dan DBP sendiri.

Diskusi berkenaan membuka ruang kepada para peserta untuk bertanyakan soalan dan berkongsikan pandangan mereka mengenai cara untuk meningkatkan keberkesanan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Hasil daripada perbincangan ilmiah dalam kalangan Munsyi Dewan (Bahasa) tersebut menjadi batu loncatan dengan wujudnya satu kata sepakat untuk menyelesaikan isu atau kekeliruan tentang tatabahasa dan beberapa cadangan yang akan dilaksanakan.

Munsyi Dewan (Bahasa) sedang berdiskusi.

Pada sesi akhir program, para peserta sebulat suara menyatakan komitmen mereka untuk terus membantu DBP dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dari semasa ke semasa.

Para peserta menyatakan bahawa mereka akan terus aktif dalam memperjuangkan bahasa Melayu dan menjadi pakar rujuk dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda dalam usaha mempromosikan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat dalam pelbagai medium termasuklah media sosial.

Menerusi program tersebut, para peserta dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran baharu yang membolehkan mereka memberikan sumbangan yang lebih besar dalam usaha memelihara dan memartabatkan bahasa Melayu, sekali gus mengukuhkan jaringan antara Munsyi Dewan (Bahasa) di seluruh negara.

Munsyi Dewan memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan yang menyebarkan kefahaman tentang kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan simbol identiti nasional.

Program ini menunjukkan komitmen DBP dan Munsyi Dewan (Bahasa) dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan program seumpama ini dapat diadakan secara berkala dengan adanya sokongan berterusan daripada DBP untuk memastikan Munsyi Dewan (Bahasa) sentiasa berada pada tahap tertinggi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Sokongan yang berterusan daripada semua pihak juga diperlukan bagi membolehkan usaha seperti ini dapat diteruskan dan diperkasakan demi memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan yang dihormati dan digunakan secara meluas dengan betul oleh setiap rakyat Malaysia.

Sesi penyampaian cenderamata kepada pihak DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.