26 Ogos 2024, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa bukanlah semata-mata wadah untuk berkomunikasi, sebaliknya alat yang mampu mempengaruhi jiwa dan emosi pendengarnya. Kelebihan ini merupakan ciri penting bahasa sekiranya digunakan dengan kaedah dan tujuan yang betul. Oleh itu, setiap pengguna bahasa seharusnya menggunakan bahasa bagi tujuan yang sepatutnya.

Satu daripada kelebihan bahasa ialah kemampuannya untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Hal ini berlaku menerusi penggunaan bahasa berbentuk peribahasa. Semangat patriotisme dalam peribahasa ini meliputi unsur persefahaman, pengorbanan, penghargaan dan peringatan.

 

Persefahaman

Persefahaman antara pemimpin dengan pemimpin, antara pemimpin dengan rakyat, dan antara rakyat dengan rakyat merupakan unsur penting yang perlu dipupuk dan dikekalkan. Persefahaman ini bukan hanya melibatkan aspek pemikiran yang bebas daripada unsur penjajahan, malah hasrat untuk mewujudkan kesatuan yang kukuh. Ciri tersebut dapat dilihat dalam peribahasa (1) – (2).

1) Bersatu teguh bercerai roboh

2) Bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh

 

Peribahasa ini mengajar pengguna bahasa untuk bersatu dan mengelakkan diri daripada berpecah belah dan memberikan amaran tentang kesan sekiranya tidak bersatu, iaitu robohnya kekuatan bangsa. Dalam hal ini, persefahaman dalam kalangan masyarakat dapat mengukuhkan ikatan perpaduan, manakala perbalahan menyebabkan perpecahan.

Seterusnya, terdapat peribahasa yang memberikan panduan untuk mewujudkan persefahaman dengan cara bersatu padu. Panduan ini ditunjukkan dalam peribahasa (3) – (4).

3) Bukit sama didaki, lurah sama dituruni

4) Bulat air kerana pembendung, bulat manusia kerana muafakat

 

Untuk kekal bersatu padu, setiap pekerjaan haruslah dilakukan secara bersama-sama dengan ahli keluarga, jiran tetangga, komuniti setempat dan masyarakat sekitarnya, sama ada pekerjaan itu susah atau senang. Cara hidup yang bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman, tolak ansur dan kerjasama dalam masyarakat inilah yang perlu dititikberatkan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk meningkatkan semangat patriotisme.

 

Pengorbanan

Untuk kekal hidup bahagia di tanah air tercinta, setiap orang perlu berkorban dan saling menjaga antara satu dengan lain. Pengorbanan ini tercipta melalui rasa cinta yang ikhlas dan penuh pengertian. Nilai pengorbanan ini dapat dilihat dalam peribahasa (5) – (6).

5) Biar putih tulang jangan putih mata

6) Tunggang hilang berani mati

 

Dalam peribahasa ini, wujud unsur pengorbanan, iaitu lebih baik mati berjuang daripada menanggung malu kerana kalah, atau lebih baik berlawan daripada menyerah kalah. Peribahasa ini mengandungi nasihat agar tidak menyerah kalah apabila melakukan pekerjaan yang melibatkan perjuangan maruah, terutamanya untuk membela bangsa dan negara.

Selain itu, pengorbanan dengan tujuan yang sama pasti menghasilkan kejayaan dan mewujudkan keyakinan yang tinggi. Unsur ini dapat dilihat dalam peribahasa (7).

7) Apa digaduhkan: pengayuh sama di tangan, perahu sama di air

 

Maksud peribahasa ini ialah seseorang itu tidak seharusnya takut apabila menghadapi lawan apabila sama-sama mempunyai kebolehan dan masing-masing ikhlas berkorban.

Peribahasa juga mengajar seseorang itu untuk sentiasa bersiap sedia dalam apa-apa jua keadaan. Contoh pengajaran ini terkandung dalam peribahasa (8).

8) Hendak ucuk dilawan damai, hendak perang giling peluru

 

Peribahasa ini mengandungi peringatan agar bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Untuk kekal relevan dalam sesuatu keadaan, seseorang itu perlu mempunyai kawan yang ramai, pendirian yang teguh dan pantang menyerah.

 

Penghargaan

Peribahasa juga banyak mengajar seseorang untuk menghargai dan menghormati budaya, tradisi dan norma yang berlaku di tempat yang dikunjungi. Dalam hal ini, seseorang itu harus mengikuti adat dan norma setempat sebagai tanda penghormatan terhadap masyarakat dan lingkungan sekitarnya agar rasa cinta terhadap tanah air sebati dalam jiwa. Unsur ini dapat dilihat dalam peribahasa (9).

9) Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

 

Peribahasa ini menggambarkan ketaatan rakyat terhadap pemerintah dan peraturan negara. Rakyat seharusnya menjalani cara hidup yang menurut adat atau peraturan di tempat yang didiami.

 

Peringatan

Unsur perjuangan untuk bebas daripada sesuatu juga terdapat dalam peribahasa. Peribahasa ini menjadikan seseorang itu lebih menghargai sesuatu dan mempertimbangkan kepentingan semua pihak. Unsur tersebut terkandung dalam peribahasa (10).

10) Sungguhpun batang merdeka, ingat pucuk akan terhempas

 

Maksud peribahasa ini ialah sesuatu pekerjaan hendaklah dikaji dengan sedalam-dalamnya dari mula hingga akhir supaya pekerjaan tersebut selamat dan sempurna. Peribahasa ini mengingatkan seseorang untuk berfikir panjang sebelum membuat keputusan agar tidak menjejaskan diri sendiri dan orang lain.

Selain itu, terdapat peribahasa yang mengingatkan seseorang tentang kesan tidak melakukan sebarang persediaan apabila melaksanakan sesuatu pekerjaan. Peringatan ini terkandung dalam peribahasa (11).

11) Sudah kalah baru berkubu

 

Peribahasa ini menunjukkan keadaan seseorang yang baru hendak beringat sesudah ditimpa kesusahan. Peribahasa ini memberikan peringatan untuk berhati-hati dan merancang sesuatu secara teliti sebelum sesuatu yang buruk itu berlaku.

Di samping itu, dalam peribahasa Melayu juga ada unsur teguran agar tidak mementingkan diri sendiri dalam perjuangan. Larangan ini memberikan peringatan kepada semua pihak, terutamanya pemimpin. Contoh peringatan ini dapat dilihat dalam peribahasa (12).

12) Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah

 

Maksud peribahasa ini ialah dua pemimpin bergaduh sehingga menyebabkan pihak yang lemah menjadi mangsa. Oleh itu, peribahasa ini mengingatkan pemimpin agar tidak menjaga kepentingan diri semata-mata dalam sesuatu perkara, tetapi turut menjaga kepentingan rakyat.

Kesimpulannya, peribahasa bukanlah suatu warisan tanpa makna, sebaliknya mengandungi pelbagai mesej orang dahulu kepada orang zaman ini yang dapat diambil iktibar dan pengajaran, terutamanya yang melibatkan semangat patriotisme. Dalam masa yang sama, terbukti bahawa peribahasa Melayu ini menggambarkan kehebatan bahasa Melayu dan kebijaksanaan orang dahulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.