30 Ogos 2024, 18:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suatu Bengkel Kerja Kualiti Pemantapan Penulisan Bahasa Melayu telah dianjurkan oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) pada 28 hingga 30 Ogos 2024. Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memperkukuh kemahiran penulisan ilmiah dalam bahasa Melayu para peserta agar lebih teratur, jelas dan efektif.

Bengkel ini dikelolai oleh Jabatan Perancangan, Penyelidikan dan Inovasi (JPPI) IPGKBM dan menampilkan lima pembimbing yang merupakan pakar dalam bahasa Melayu dan penulisan akademik.

Para pembimbing terdiri daripada Prof. Madya Dr. Muhammad Faizal A. Ghani dan Prof. Madya Dr. Chew Fong Peng dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani dan Dr. Rozita Che Rodi dari Universiti Putra Malaysia, serta Dr. Azerai Azmi dari IPG Kampus Pendidikan Teknik.

Sesi bimbingan yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Faizal A. Ghani.

Kehadiran pakar ini bertujuan untuk membantu pensyarah institut pendidikan guru (IPG) meningkatkan mutu karya ilmiah mereka, seterusnya memberikan sumbangan yang bermakna kepada bidang akademik dan penyelidikan.

Dalam ucapannya, Dr. Roslina Suratnu, Ketua JPPI menyatakan bahawa bengkel ini memberikan peluang kepada para peserta untuk berinteraksi dan saling bertukar pandangan dengan pakar dalam bidang penulisan dan penyelidikan ilmiah.

“Pembimbing yang diundang telah memberikan input yang sangat berguna termasuklah panduan dan petua untuk meningkatkan kualiti manuskrip agar lebih mudah diterima untuk diterbitkan dalam jurnal ilmiah yang berprestij,” katanya.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari ini telah memberikan impak positif kepada para peserta dan berjaya menghasilkan penulisan ilmiah berkualiti.

Barisan urus setia merakamkan kenangan bersama-sama dengan pembimbing bengkel.

Melihat kepada keberhasilan ini, JPPI merancang untuk menganjurkan bengkel serupa pada awal tahun hadapan bagi membolehkan peserta menghasilkan penulisan yang lebih bermakna dan berimpak.

Program seperti ini bukan sahaja dapat memajukan kemahiran individu, tetapi juga memperkasakan mutu penyelidikan dalam kalangan pensyarah dan penyelidik di IPG.

Dengan sokongan berterusan, IPGKBM berharap untuk terus mengembangkan kemahiran penulisan ilmiah yang berkualiti tinggi dalam kalangan pendidik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.