1 September 2024, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Nerus – Sekolah Kebangsaan Bendahara Seri Maharaja yang buat julung-julung kalinya mewakili negeri Melaka telah menjulang Naib Johan Pesta Pantun Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2024.

Pasukan yang dididik oleh Encik Sufrei Abu Bakar ini dianggotai oleh saudara Amzar, saudari Nur Iffah, saudara Wafi, saudari Nur Cinta dan saudara Ilham Najmi yang berusia 12 tahun.

Pasukan Melaka ketika beraksi untuk memperkenalkan pasukan.

“Disebabkan ini penyertaan kali pertama kami pada peringkat kebangsaan, kami hanya mencuba sahaja setakat yang mampu,” ujar Amzar, pemantun pertama.

Encik Sufrei Abu Bakar selaku jurulatih pasukan berkata,

Pada awalnya kami cuma menyasarkan untuk mara sehingga peringkat suku akhir sahaja.

Namun begitu, tidak sangka kami dapat menjejakkan kaki ke peringkat akhir dan meraih gelaran naib johan dalam pertandingan yang gilang-gemilang ini.

Sementara itu, Puan Norliza Yamin, Pegawai Teknikal Pesta Pantun Negeri Melaka berkata, “Meskipun tewas kepada juara bertahan, iaitu Kedah, namun saya berasa bangga melihat pencapaian sekolah kecil ini, yang berjaya memberi saingan terhadap sekolah besar yang lain.”

“Pencapaian mereka bukan mudah digapai,” ujarnya.

Suasana ketika peringkat akhir antara pasukan Melaka dengan pasukan Kedah.

Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan yang berlangsung semalam di Ar Riyadah Residence Kuala Nerus, Terengganu dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, iaitu YBrs. Tuan Haji Jelani bin Sulong, S.M.T.

Untuk rekod, pasukan Melaka berjaya menewaskan pasukan Johor pada pusingan kelayakan pertama dan pasukan Perlis dalam pusingan saringan kedua.

Dalam peringkat akhir suku akhir pula, pasukan Melaka berjaya menewaskan pasukan Pulau Pinang.

Namun begitu, ketika peringkat separuh akhir, pasukan Melaka berdepan perlawanan sengit tatkala bertembung dengan Naib Johan Pesta Pantun tahun lalu, iaitu pasukan Sarawak.

Kemenangan ke atas pasukan Sarawak melayakkan pasukan Melaka mara ke peringkat akhir.

Pasukan Melaka berjaya membawa pulang trofi, sijil penghargaan dan cenderahati sebagai tanda kenangan.

Kemenangan ini berjaya membuktikan bahawa pantun semakin subur dalam kalangan generasi muda di negeri Melaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.