Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBahasa Melayu baku atau standard telah berkembang dengan pesat sebagai bahasa rasmi Malaysia, khususnya sebagai bahasa pengantar pendidikan kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa pengucapan budaya tinggi, bahasa persuratan, bahasa komunikasi dan sebagainya.
Bahasa Melayu telah melalui dua proses penting yang disebut sebagai perancangan bahasa, yakni perancangan taraf bahasa dan perancangan korpus bahasa. Walaupun terdapat dua jenis perancangan bahasa, perbincangan dalam rencana ini lebih menjurus kepada perancangan korpus bahasa. Menurut Asmah Haji Omar dalam bukunya Muafakat Bahasa: Sejarah MBIM/MABBIM sebagai Pembina Bahasa (DBP 2004:175), perancangan korpus bahasa merupakan usaha merapikan dan menyempurnakan korpus bahasa agar bahasa yang melalui program seperti ini menjadi lebih efisien sebagai sistem komunikasi.
Yang dimaksudkan dengan korpus bahasa ialah bahan yang memberikan pewujudan kepada bahasa sebagai satu entiti yang boleh dituturkan dan ditulis. Tegasnya, korpus terdiri daripada sistem tulisan, ejaan, sebutan, perbendaharaan, ayat dan semua yang berhubung dengannya. Oleh itu, perancangan korpus bahasa dikenali juga sebagai pembinaan bahasa.
Perancangan korpus bahasa atau pembinaan bahasa seperti yang dihuraikan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015) merupakan peringkat kedua dalam pelaksanaan rancangan yang telah disusun, khususnya oleh badan perancang bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dua istilah yang sering digunakan bagi memperkatakan segala hal yang berlaku pada peringkat ini ialah pengekodan atau kodifikasi dan pemupukan.
Menurut Fishman et al. (1971), proses pengekodan meliputi usaha ke arah penyerapan variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan tatabahasa, kamus, panduan ejaan dan sebagainya. Pemupukan pula bermaksud menumpukan perhatian kepada usaha untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan “saling terjemah” dengan beberapa bahasa moden lain. Perkara ini dapat dilaksanakan melalui pemupukan istilah baharu, khususnya dalam bidang profesional dan teknikal (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 2015:22).
Tiga bidang keberhasilan utama dalam aspek pengekodan bahasa Melayu yang cukup berjaya di negara ini termasuklah dari segi ejaan, perkamusan dan tatabahasa. Pemupukan bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang sudah mencapai keadaan “saling terjemah” serta kaya dengan perbendaharaan kata yang pelbagai variasi, sistem ejaan yang mantap dan tatabahasa yang tersusun perlu dipergiat pengembangannya.
Dalam pada itu, meskipun bahasa Melayu telah mencapai tahap pembakuan atau penstandardan yang cukup tinggi, terutamanya dalam aspek ejaan, perbendaharaan dan tatabahasa, namun masih ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang melakukan pelbagai bentuk pencemaran bahasa. Selain itu, mereka juga tidak begitu menguasai penggunaan kosa kata yang sesuai dengan maknanya dan ada juga yang tidak tahu mengeja perkataan dengan betul walaupun garis panduan dan buku rujukan pantas yang dapat membantu pengguna bahasa Melayu mengeja atau menulis sesuatu kata dengan ejaan yang betul telah diterbitkan sejak tahun 1975.
Garis panduan atau pedoman ejaan bahasa Melayu yang telah diterbitkan itu seharusnya digunakan sebagai buku rujukan oleh para pengguna bahasa, khususnya pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan, yakni guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dari peringkat sekolah rendah hinggalah peringkat sekolah menengah. Bukan sahaja guru mata pelajaran Bahasa Melayu yang perlu menguasai Sistem Ejaan Bahasa Melayu standard dan betul, malah guru yang mengajar mata pelajaran lain juga harus mengetahui dan membezakan antara ejaan yang betul dengan yang salah.
Sekiranya sikap ambil tahu, prihatin, peduli dan sensitif terhadap penggunaan bahasa yang betul dari segi ejaan serta penulisan katanya, nescaya pelbagai kerancuan bahasa dapat dielakkan. Sebaliknya, sikap bena dan tak bena terhadap peri pentingnya menggunakan bahasa yang sifar kesalahan ejaannya sudah pasti akan menjadikan gejala kerancuan bahasa menjadi semakin parah.
Sebenarnya, hal yang perlu diketahui oleh para pengguna bahasa ialah sistem ejaan Rumi yang digunakan sekarang ialah Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia yang dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972. Sistem ini merupakan cetusan daripada perjanjian penyatuan ejaan Rumi bagi bahasa Melayu dan bahasa Indonesia yang dasarnya dipersetujui pada tahun 1967. Sistem ejaan Rumi yang dilaksanakan pada tahun 1972 itu ialah hasil kesepakatan Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia bagi pihak Kerajaan Malaysia dan pemerintah Republik Indonesia (Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi–Sebutan-Jawi Edisi Kedua, DBP, 2016:1).
Sesungguhnya, Pedoman Umum bagi Ejaan Rumi Bahasa Melayu tersebut cukup lengkap. Hal ini dikatakan demikian kerana buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia Edisi Kedua (DBP, 1996) misalnya, merupakan sebuah daftar ejaan Rumi yang paling lengkap dengan menggariskan pedoman umum ejaan Rumi secara menyeluruh dan mencakupi semua aspek asas dan utama yang berkaitan dengan kaedah ejaan bahasa Melayu baku seperti abjad dan huruf, huruf vokal, huruf diftong, huruf konsonan, persukuan, sistem keselarasan huruf vokal, ejaan kata pinjaman, penulisan kata dasar, penulisan kata terbitan, penulisan kata depan, penulisan kata singkat, penulisan partikel, penulisan kata ulang, penulisan gabungan kata dan penggunaan tanda sempang.
Sebagai contohnya, ejaan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris dan bahasa Eropah lain yang dibuat berdasarkan peraturan huruf dan penyesuaian ejaan daripada bahasa Inggeris serta bahasa Eropah lain ke dalam bahasa Melayu seharusnya diketahui dan difahami oleh para pengguna bahasa, khususnya tokoh negara dan ikon tertentu agar pelbagai kerancuan ejaan dapat dielakkan.
Seyogianya, penyesuaian ejaan daripada bahasa Inggeris dan bahasa Eropah lain ke dalam bahasa Melayu baku dibuat berdasarkan keutamaan yang berikut (diubah suai daripada DBP, 1996):
Dalam konteks memurnikan ejaan pengguna bahasa Melayu Malaysia, beberapa kesalahan ejaan seperti lagenda (sepatutnya legenda), nasionalisma (sepatutnya nasionalisme), kurik kendi (sepatutnya kurik kundi) dan penulisan kata seperti lain-lain hal (sepatutnya hal-hal lain) serta dalam kata-kata lain atau dalam perkataan lain (sepatutnya dengan kata lain atau dengan perkataan lain) sewajarnya tidak dilakukan kesalahan ejaan sedemikian.
Satu lagi kejayaan yang luar biasa besar yang dicapai dalam usaha perancangan korpus bahasa atau pembinaan bahasa, terutamanya dalam aspek pengekodan bahasa Melayu Malaysia ialah penerbitan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) yang mengandungi lebih daripada 120 ribu entri dan subentri yang merangkumi kata umum, istilah, dialek dan kata serumpun. Keistimewaan kamus tersebut yang merupakan kamus bahasa Melayu pertama yang paling lengkap di dunia ialah pembinaan kamus itu berasaskan analisis baharu berpandukan data korpus yang lebih daripada 113 juta kata dalam korpus DBP, di samping penggunaan kata dalam Internet.
Keistimewaan lain kamus berkenaan termasuklah terdapat maklumat pemenggalan kata, ejaan Jawi, sebutan dan kelas kata, selain sekitar 7000 maklumat etimologi dimasukkan dalam kamus itu. Semua contoh penggunaan kata diambil daripada korpus bahasa Melayu yang diandalkan. Pendek kata, Kamus Dewan Perdana tersebut ialah kamus bahasa Melayu pertama yang paling lengkap, autentik dan autoritatif di dunia setakat ini. Sesungguhnya, penyusunan kamus merupakan suatu juzuk dalam pengekodan bahasa yang merakamkan kekayaan bahasa dan budaya sesuatu bangsa dalam tempoh tertentu sehingga penghasilannya menjadi kebanggaan bangsa yang memilikinya (Ibrahim Ahmad, DBP, 2011).
Satu lagi aspek penting yang berkaitan dengan usaha pengekodan bahasa ialah pembinaan tatabahasa. Tatabahasa menurut Datuk Dr. Firdaus Abdullah, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (Kata Pengantar Edisi Ketiga buku Tatabahasa Dewan, Ogos 2007) ialah peraturan atau sistem sesuatu bahasa, iaitu cara sesuatu bahasa itu digunakan sama ada dalam bentuk tulisan ataupun lisan. Oleh itu, buku Tatabahasa Dewan merakamkan sistem bahasa Melayu yang merupakan satu daripada korpus utama bahasa Melayu. Buku Tatabahasa Dewan telah menjadi pegangan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Buku ini sewajarnya dijadikan rujukan utama para pengguna bahasa, khususnya para pelajar, guru, pensyarah serta pihak yang berhasrat untuk menambah baik penggunaan bahasa masing-masing, baik secara lisan mahupun tulisan, terutamanya dalam konteks urusan dan suasana rasmi.
Oleh hal yang demikian, pelbagai gejala kerancuan bahasa seperti ejaan yang keliru, morfologi yang celaru, sintaksis yang haru-biru, semantik yang kacau dan seumpamanya yang berlaku dalam pelbagai lapisan masyarakat di negara ini, dari peringkat atasan hingga peringkat rakyat jelata dapat dielakkan daripada menjadi virus pencemaran bahasa yang sakit mata memandang, pedih telinga mendengar dan sedih hati mengenang untung nasib bahasa Melayu dilukai dan disakiti oleh mereka yang bersikap prejudis dan cauvinis terhadap keberadaan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Dalam hal ini, masih wujud ketidakfahaman dalam kalangan masyarakat Malaysia dalam aspek ejaan, penulisan kata dan penggunaan kata, di samping tidak dapat membezakan, sama ada sesuatu perkataan itu bahasa Melayu Malaysia ataupun bahasa Indonesia. Walhal, dalam Kamus Dewan Edisi Empat (2010) dan Kamus Dewan Perdana (2020) sudah jelas bahawa perkataan tersebut ialah perkataan bahasa Melayu Malaysia kerana tidak ditandai dengan kependekan bahasa dan dialek pada entri kata tersebut seperti Id untuk Indonesia.
Mungkin bagi pihak yang tidak ambil peduli akan peri pentingnya ejaan yang betul bagi perkataan, gejala sedemikian dianggap remeh dan tidak mendatangkan apa-apa implikasi kepada makna yang didukung oleh perkataan tersebut. Misalnya, masih ada pengguna bahasa yang keliru dengan penggunaan kata karenah dan kerenah. Kata karenah acap kali digunakan untuk maksud kata kerenah seperti dalam kata majmuk kerenah birokrasi; yang penggunaan kata karenah sebenarnya tidak betul apabila digandingkan dengan kata birokrasi.
Sebenarnya, kedua-dua perkataan tersebut terdapat dalam Kamus Dewan Perdana (2020). Walau bagaimanapun, perkataan itu membawa makna yang berbeza. Kata karenah yang berasal daripada bahasa Arab ialah kata nama yang membawa maksud bukti atau tanda yang menjadi keterangan tentang sesuatu kejadian atau perbuatan, manakala kata kerenah ialah kata nama yang mendukung makna ragam, kemahuan dan tingkah laku.
Oleh sebab itu, kata majmuk yang betul ialah kerenah birokrasi yang diperikan sebagai proses atau urusan kerja, terutamanya yang melibatkan pihak kerajaan yang terpaksa melalui pelbagai peringkat kelulusan dan masa yang sangat lama sebelum sesuatu permohonan atau perkara dapat diluluskan atau dilaksanakan dan bukannya karenah birokrasi yang langsung tidak mempunyai apa-apa makna.
Gejala ketidakfahaman tentang cara penggunaan dan penulisan kata yang benar dalam kalangan pengguna bahasa Melayu Malaysia juga kerap berlaku. Bahkan, ada yang keliru dan mungkin juga jahil akan asal sesuatu perkataan, lantas menyebabkan mereka tidak dapat membezakan, sama ada sesuatu perkataan itu bahasa Melayu Malaysia ataupun bahasa Indonesia. Ironinya, mereka yang “bodoh sombong bahasa” ini dengan sarkastiknya berkata, “kenapa hendak menggunakan perkataan orang Seberang?”, sedangkan perkataan yang dikatakan perkataan orang Seberang itu, yakni kata peluncuran ialah perkataan dalam bahasa Melayu Malaysia (lihat Kamus Dewan Perdana, hlm. 1367).
Sesungguhnya, penggunaan pelbagai sinonim, iaitu kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dengan kata lain, misalnya cantik dengan lawa; pantas dengan laju. Kata lancar bersinonim dengan kata luncur, manakala kata pelancaran bersinonim dengan kata peluncuran. Walau bagaimanapun, dalam proses pembentukan kata, khususnya apabila sesuatu kata dasar itu menerima imbuhan, baik awalan, akhiran, sisipan, apitan, morfem bebas mahupun bentuk fleksi, perkataan yang terbit atau terbentuk daripada proses pengimbuhan itu akan berubah dari segi makna yang didukungnya.
Dalam kes kata pelancaran dan peluncuran bagi maksud hal atau perbuatan melancarkan, yakni memperkenalkan produk, program dan sebagainya yang baharu kepada umum buat kali pertama secara rasmi ialah kata seerti atau sinonim. Memang dalam konteks penggunaan bahasa Indonesia, kata peluncuran bagi maksud launching dalam bahasa Inggeris lebih dominan penggunaannya, namun, penggunaan kata tersebut atau bentuk sinonim yang lain dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa Melayu Malaysia bagi maksud yang sama bukanlah suatu kesalahan tetapi harus dilihat sebagai mempelbagaikan variasi penggunaan sinonim dalam konteks gaya berbahasa seseorang.
Kepelbagaian dalam penggunaan sinonim mahupun istilah dan perbendaharaan kata yang bersinonim bukan untuk menggantikan perkataan yang sedia ada dalam bahasa Melayu Malaysia seperti kata merarau dan makan tengah hari, serta urus tadbir dan tatakelola dan sebagainya. Perkataan ini ialah sinonim yang memperlihat betapa kayanya bahasa Melayu Malaysia dari segi perbendaharaan kata. Oleh itu, pengguna bahasa seharusnya tidak berasa rawan, apatah lagi ralat dek beranekanya penggunaan sinonim dalam kalangan masyarakat.
Usaha pengekodan bahasa merupakan proses yang berterusan kerana ranah keilmuan sentiasa berkembang maju dan keperluan akan istilah baharu untuk konsep serta definisi baharu dalam ilmu baharu tidak dapat tidak akan mendorong usaha pengekodan bahasa.
Apa-apa pun perkembangan terbaharu dalam bidang pengekodan bahasa Melayu bukanlah suatu masalah yang serius yang tidak dapat diselesaikan. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu Malaysia mempunyai buku Tatabahasa Dewan, Kamus Dewan Perdana, Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia, Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia, Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia, Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi dan lain-lain yang lengkap serta berwibawa sebagai pedoman dan garis panduan untuk pengguna bahasa, khususnya DBP dalam melaksanakan usaha serta program pengekodan bahasa Melayu Malaysia.