Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan i-MInD PAMER peringkat separuh akhir bagi Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik Tahun 2024 anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) bertujuan menggalakkan warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan institusi pendidikan lain dari dalam negara untuk mengkomersialkan dan memasyhurkan penghasilan produk buku serta bahan pengajaran dan pembelajaran yang relevan dengan keperluan pendidikan pada masa ini.
Penjurian bagi pertandingan tersebut telah dilaksanakan dengan menggunakan platform secara dalam talian bermula 4 hingga 5 September 2024.
Pengarah IPGKBM, YBrs. Dr. Masitah Mohammad Yusof (A.M.N) ketika merasmikan pertandingan tersebut menzahirkan kesyukuran dan ucapan terima kasih atas pelibatan serta komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam kalangan warga KPM dan institusi pendidikan lain.
Ujar beliau,
Penganjuran pertandingan seperti ini membuktikan bahawa banyak pendidik di Malaysia terlibat aktif dalam memasyhurkan dan mengkomersialkan produk inovasi dan penulisan bahan bacaan.
Sebanyak 87 produk i-MInD PAMER bagi kategori guru KPM, pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia dan institusi pendidikan lain dipertandingkan pada peringkat ini.
Para peserta dikehendaki mempromosikan produk melalui pembentangan video teaser, katalog dan soal jawab yang dipertontonkan terus melalui pautan secara dalam talian.
Penilaian bagi pembentangan diadili oleh juri yang dilantik khas dan memiliki kepakaran yang tinggi.
Sementara itu, YBrs. Dr. Khairiah@Asma’a Baharun selaku ketua juri pertandingan berkenaan menzahirkan keterujaannya dan percaya bahawa semua produk yang dipertandingkan dapat memberikan nilai tambah dalam aspek pengetahuan dan kemahiran bagi disiplin tersendiri.
Kata beliau,
Kebanyakan produk mempunyai implikasi praktikal dan boleh dikomersialkan.
Sebanyak 18 produk telah berjaya dipilih dan layak dipertandingkan pada peringkat akhir yang akan diadakan di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh Perak pada 23 hingga 25 September 2024.
Bertepatan dengan tema Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik Tahun 2024, iaitu “Membangunkan Minda Madani dan Karakter melalui Pendidikan”, pertandingan seumpama ini menjadi wadah utama dalam melestarikan perkongsian amalan terbaik pengajaran dan karya penulisan, sekali gus memupuk motivasi dan sikap positif dalam kalangan warga pendidik.