5 September 2024, 14:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertandingan Pantun dalam Video TikTok bertemakan “Malaysia Tanah Airku” bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Peringkat Sektor Swasta telah berlangsung dengan jayanya. Pertandingan ini menyaksikan penyertaan daripada pelbagai kaum di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Puan Fauzilahyatun Mustafa bergambar bersama-sama dengan semua rakan penganjur.

Program yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP), Mardhiyyah Hotel and Suites, Menara Kuala Lumpur, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Bayou Lagoon Park Resort Melaka, Portal Buku Digital E-Sentral dan Percetakan Mesbah Sdn. Bhd. telah berlangsung selama 70 hari, mulai 10 Jun 2024 hingga 19 Ogos 2024.

Pertandingan ini memerlukan peserta mencipta pantun empat kerat sebanyak dua rangkap, merakamkan video melafazkan pantun tersebut mengikut kreativiti masing-masing sebelum dimuat naik ke dalam akaun TikTok dengan tanda pagar #dekadbahasakebangsaan dan tanda pagar semua rakan penganjur.

Johan pertandingan, Amirul Afiq Kasim dari Integrated Health Plans (Malaysia) Sdn. Bhd. menerima hadiah daripada Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Amirul Afiq Kasim dari Integrated Health Plans (Malaysia) Sdn. Bhd. menerima hadiah tempat pertama yang membawa pulang wang tunai RM600, manakala pemenang tempat kedua Mohamad Syafeq Zainal Amin dari ASAASCOM Engineering Sdn. Bhd. menerima wang tunai sebanyak RM400 dan pemenang tempat ketiga, Nur Atiqah Mohd Jani dari Saito University College menerima wang tunai sebanyak RM200.

Pemenang tempat pertama dan kedua turut menerima baucar penginapan bilik Deluxe selama dua hari satu malam berserta dengan sarapan untuk dua orang dari Mardhiyyah Hotel and Suite. Ketiga-tiga pemenang ini juga menerima hadiah iringan berupa baucar Magic Art 3D Museum dari Bayou Lagoon Park Resort, buku terbitan DBP, cenderamata daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan baucar buku digital E-Sentral.

Pemenang tempat kedua, Mohamad Syafeq Zainal Amin dari ASAASCOM Engineering Sdn. Bhd. menerima hadiah yang disampaikan oleh Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Mardhiyyah Hotel and Suites, Encik Lam Chian Kok.

Pada masa yang sama, terdapat 10 pemenang sagu hati, iaitu Muhammad Danial Arifin dari Positive Vibes Legacy; Anis Maissarah Khamis dari Kedai Runcit Along Laris, Noraznie Syakirah Mohd Nor dari Orangebeam Construction Sdn. Bhd., Muhammad Syazwan Samsudin dari Netstar Service Technology Sdn. Bhd., Fatin Norsahida Giman dari Clinical Research Malaysia, Nur Izdiharr Zainol dari Panasonic Industrial Devices Malaysia Sdn. Bhd., Siti Khadijah Kamar dari Guardian Health and Beauty Sdn. Bhd., Husna Mohamad Afifi dari Artventuroar Art Studio and Creative Centre, Muhammad Za’im Mohamad Yusoff dari Bank Islam Malaysia Berhad, dan Sakinah Omar dari Maahad Tahfiz al-Khairiah, Mersing, Johor.

Pengurus Pemasaran dan Perancangan Strategik Xentral Methods (E-Sentral), Puan Nur Eleena Farihin Redzuan Hafiz Boon menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat ketiga, Nur Atiqah Mohd Jani dari Saito University College.

Kesemua pemenang sagu hati menerima wang tunai sebanyak masing-masing RM100, buku terbitan DBP, cenderamata DBP dan PUNB, baucar Magic Art 3D Museum dari Bayou Lagoon Park Resort dan baucar tiket khas Menara Kuala Lumpur.

Pemenang hadiah kategori khas turut dipilih untuk kategori Pantun Terbaik, Video Terbaik, Kongsian Tertinggi, Tanda Suka Tertinggi dan Tontonan Tertinggi. Pemenang kategori ini menerima wang tunai sebanyak RM200 daripada PUNB, Magic Art 3D Museum Bayou Lagoon Park Resort berserta dengan buku terbitan DBP.

Kategori Pantun Terbaik dimenangi oleh Noraznie Syakirah Mohd Nor dari Orangebeam Construction Sdn. Bhd., manakala kategori Video Terbaik pula dimenangi oleh Amirul Afiq Kasim dari Integrated Health Plans Malaysia. Saffiya Samion dari Malaysia Digital Economy Corporation meraih kemenangan dalam kategori Kongsian Tertinggi dengan jumlah kongsian sebanyak 186 kali. Kategori Tontonan Tertinggi dan kategori Tanda Suka Tertinggi pula dimenangi oleh Muhammad Za’im Mohamad Yusoff dari Bank Islam Malaysia Berhad.

Sebagai rekod, DBK merupakan program tahunan kerajaan yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui DBP yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kecintaan rakyat terhadap bahasa kebangsaan.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.