Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, sektor swasta di negara ini menyatakan sokongan padu terhadap inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengembangkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai urusan rasmi.
Ketua Pegawai Komersial Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP), Encik Mohd Faris Kamarudin, menyeru syarikat-syarikat swasta untuk yakin dan percaya terhadap keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dalam penulisan surat-menyurat, mesyuarat, pembentangan dan sebagainya.
“Sudah tiba masanya kita mengutamakan bahasa kebangsaan, tanpa mengetepikan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain,” kata beliau dalam ucapannya semasa Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Pertandingan Pantun TikTok bertemakan “Malaysia Tanah Airku” bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Peringkat Sektor Swasta, hari ini.
Beliau juga menyeru agar syarikat-syarikat swasta mengambil bahagian dalam kegiatan DBP yang berkaitan dengan pemerkasaan bahasa kebangsaan. DBP, sebagai badan utama yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera di Malaysia berperanan merangka dan melaksanakan pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan demi menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan.
“Melalui pertandingan ini, saya yakin usaha ini dapat mengembangkan dan melestarikan seni pantun sambil meraikan kepelbagaian budaya dan kaum di negara ini,” tambah Encik Mohd Faris. Inisiatif ini diharapkan dapat menyemarakkan semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat dan memperkukuh identiti negara.
Menyambut baik saranan daripada Encik Mohd Faris, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fazilahyatun Mustafa berharap agar sektor swasta akan terus menjalinkan hubungan baik dengan DBP demi memartabatkan bahasa kebangsaan.
“Sebagai wakil pengurusan tertinggi DBP, saya amat berbesar hati sekiranya kegiatan DBK ini disambut baik oleh warga kerja sektor swasta, bukan hanya dari aspek sumbangan, tetapi juga penyertaan.”
“Semoga kegiatan seperti ini menjadi usaha yang berpanjangan demi mencapai matlamat kita untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, di samping memastikan warisan budaya kita seperti seni pantun, akan terus hidup dan segar dalam jiwa generasi akan datang,” tambah beliau.
Majlis ini disempurnakan oleh Puan Fauzilahyatun Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah DBP. Hadir sama dalam majlis ini termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Encik Nazli Saad; Penolong Pengurus Unit Komunikasi Korporat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Puan Nor Farah Atikah; Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Mardhiyyah Hotel and Suites, Encik Lam Chian Kok; Pengurus Pemasaran dan Perancangan Strategik Xentral Methods (E-Sentral), Puan Nur Eleena Farihin Redzuan Hafiz Boon; Pengarah Percetakan Mesbah Sdn. Bhd., Puan Mesbah Haji Mat Zain dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Kegiatan DBK Peringkat Sektor Swasta 2024, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin. Majlis diserikan dengan persembahan oleh penyanyi lagu malar segar, Encik Roslan Madun.
Penganjuran pertandingan pantun peringkat sektor swasta ini merupakan satu daripada inisiatif yang memberikan ruang kepada warga sektor swasta untuk mengetengahkan bakat mereka dalam mencipta dan melafazkan pantun menggunakan bahasa Melayu yang baik. Pertandingan ini bertujuan untuk membangkitkan kecintaan terhadap keindahan bahasa Melayu serta melestarikan seni pantun sebagai khazanah puisi tradisional.