5 September 2024, 22:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Pro-Naib Canselor (Strategi dan Kewatanan) Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan, menegaskan bahawa negara kini berhadapan dengan cabaran besar dalam era pascaglobalisasi, terutamanya dalam bidang pendidikan. Satu daripada cabaran yang ketara ialah kebersamaan antara pelajar tempatan dengan antarabangsa yang mempunyai
latar belakang bahasa ibunda yang berbeza.

Pro-Naib Canselor (Strategi dan Kewatanan) Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan semasa berucap dalam Majlis Penutupan PERANTIS 2024.

“Kita harus menggunakan peluang ini untuk memperkukuh penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” ujar beliau dalam ucapan penutupan Persidangan Antarabangsa Peristilahan (PERANTIS) 2024.

Menurutnya, jika sukar untuk membawa bahasa Melayu keluar ke dunia, peluang harus diambil untuk memperkenalkan istilah bahasa Melayu kepada pelajar asing semasa mereka menuntut ilmu di universiti tempatan.”

“Kita tidak seharusnya terlalu bangga dengan bahasa Inggeris semata-mata dan perlu memberikan penekanan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” tambahnya lagi.

Persidangan yang berlangsung selepas hampir 25 tahun tidak diadakan ini menekankan kepentingan peristilahan dalam pengembangan bahasa kebangsaan. YBhg. Prof. Dato’ Dr. Roslee turut menyarankan agar persidangan ini diadakan secara dwitahunan bagi memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan melalui peristilahan yang tepat dan sistematik.

“Usaha untuk memperkukuh bahasa bukan hanya tugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama,” katanya yang menggesa semua pihak untuk turut serta dalam memperkasakan bahasa melalui penyelidikan yang berimpak tinggi serta memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan, dalam ucapan penutupnya menegaskan bahawa komitmen DBP untuk terus membentuk, mencipta dan membakukan istilah dalam bahasa kebangsaan sejajar dengan peranannya sebagai penyelaras utama bahasa Melayu.

Pembentukan istilah dalam bahasa kebangsaan memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan bahasa Melayu terus relevan dan berkembang seiring dengan perubahan ilmu dan teknologi. – YBrs. Tuan Haji Md Johari Hassan

Beliau turut menekankan bahawa usaha ini memerlukan sokongan pelbagai pihak, termasuk jabatan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, serta pakar dalam bidang tertentu.

“DBP Malaysia juga akan memperkukuh hubungan dan kerjasama peristilahan melalui badan-badan bahasa serantau dan antarabangsa seperti MABBIM, MABM dan Infoterm,” katanya.

Sepanjang dua hari persidangan, sebanyak 28 pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara yang berkongsi pandangan dan hasil kajian mereka. Persidangan ini mencapai objektif untuk mempertemukan para sarjana, profesional dan pengamal industri bagi membincangkan tentang peristilahan, serta menekankan kepentingan tindakan susulan terhadap rumusan yang dicapai.

Antara resolusi utama persidangan termasuklah keperluan memperkasakan perkamusan dan pembentukan istilah dalam pelbagai bidang. Hal ini sejajar dengan perkembangan ilmu semasa. Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dicadangkan untuk membantu meningkatkan kualiti penterjemahan istilah serta menyusun kamus secara lebih sistematik dan tepat.

“Dengan kajian yang mendalam dan penggunaan panduan yang betul, kita dapat menghasilkan penterjemahan istilah yang lebih baik serta relevan dengan keperluan semasa.” Demikian menurut YBrs. Tuan Haji Md Johari mengakhiri ucapan penghargaannya.

Persidangan ini dijangka memberikan impak besar dalam memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan memastikan perkembangan istilah yang seiring dengan arus globalisasi.

 

Kredit Foto: Khairul Azhar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.