Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Peristilahan bukan sekadar proses mencipta kata baharu, tetapi merupakan cerminan budaya tempatan yang berasimilasi dengan perkembangan global, terutamanya dalam dunia digital yang mengalami perubahan yang pesat.
Dalam satu forum yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan PETRONAS semalam, Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), YBrs. Dr. Junaini Kasdan, menyentuh tentang peranan istilah baharu dalam mencerminkan cara masyarakat berfikir, berkomunikasi, dan membuat keputusan.
Beliau, yang bertindak sebagai moderator forum tersebut, menegaskan bahawa setiap istilah yang diperkenalkan membawa makna yang tersendiri dan sering kali memberikan gambaran secara sepintas lalu tentang tamadun sesuatu bangsa.
“Dalam era kecerdasan buatan (AI), kita melihat ledakan istilah baharu dalam bahasa Melayu yang mencerminkan perubahan pesat dalam teknologi serta komunikasi manusia. Namun, dalam keghairahan kita menerima teknologi baharu ini, timbul persoalan sama ada istilah baharu ini boleh mencipta jurang pemahaman antara golongan pakar dengan orang awam,” katanya membuka sesi forum bertajuk “Peristilahan Melayu dalam Era Kecerdasan Buatan dan Komunikasi Global: Isu dan Cabaran”.
YBrs. Dr. Junaini juga mengulas tentang kesan domino yang mungkin timbul apabila jurang pemahaman ini tidak disempitkan. Menurutnya, jika masyarakat gagal memahami dan menerima istilah-istilah baharu, hal ini akan menyebabkan istilah tersebut tidak diterima pakai, sekaligus mengurangkan keberkesanan peristilahan itu sendiri.
“Di luar negara, istilah baharu biasanya dicipta oleh golongan pakar dalam bidang masing-masing dan bukannya pakar bahasa. Namun, di Malaysia, masyarakat sering kali menyimpulkan bahawa istilah-istilah baharu ini adalah ciptaan DBP dan merasakan mereka “dipaksa” untuk menggunakannya,” tambah beliau.
Menjawab persoalan yang dikemukakan moderator, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP, Encik Mohd Fadzli Tajuid berkata, organisasinya menggubal dan mencipta istilah dalam pelbagai bidang terkini seperti AI, sains nuklear dan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang tentunya hasil usahasama antara DBP dengan pakar-pakar bidang.
Beliau menyatakan bahawa DBP memikul tanggungjawab penting dalam memastikan bahasa Melayu diguna pakai sebagai bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa kebangsaan. Namun, beliau turut menambah, “Adakah DBP satu-satunya pihak yang mencipta istilah dalam bahasa Melayu?”
“Dari segi badan penyelaras (bagi pembakuan dan penyelarasan bahasa Melayu, DBP diberikan kuasa tunggal untuk mencipta istilah. Tetapi, dari segi gerak kerja, DBP bersama-sama dengan pakar, institusi dan agensi yang arif tentang bidang masing-masing untuk membentuk istilah bahasa Melayu yang sesuai.”
Lazimnya, jelas Encik Mohd Fadzli, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membentuk istilah-istilah baharu. Jawatankuasa inilah yang akan bersidang, menggubal dan mencadangkan padanan istilah dalam bahasa Melayu yang sesuai dengan sesuatu bidang.
“Mereka yang banyak pengalaman dalam sesebuah industri turut disertakan dalam jawatankuasa tersebut. Jika (DBP) hanya melibatkan pakar bidang sahaja, sesuatu istilah hanya akan digunakan dalam bidang akademik dan tidak selaras dengan istilah yang digunakan di lapangan,” kata beliau.
“Polisi sudah ada, istilah pun sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, jadi mengapa masih ramai yang enggan menggunakan istilah tersebut dan lebih cenderung mengunakan bahasa Inggeris?” soal Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Puan Mediha Mahmood. Menurutnya, industri perlu mengambil pendekatan yang lebih bijak dan sistematik dalam mengadaptasi istilah baharu.
“Antara langkah yang boleh diambil termasuklah menggantikan istilah asing dengan istilah dalam bahasa Melayu serta mempromosikan penggunaannya secara meluas,” tambah beliau.
Menurut pemerhatian beliau, ramai yang berpendapat bahawa istilah teknologi dalam bahasa Melayu kedengaran janggal. Namun, beliau menjelaskan bahawa istilah tersebut kedengaran janggal hanya kerana istilah tersebut masih baharu dan belum digunakan secara meluas.
Satu daripada cara untuk memperkayakan istilah bahasa Melayu yang berasal daripada istilah asing adalah dengan mencipta model bahasa besar (large language model, LLM) dan sistem AI khusus untuk peristilahan bahasa Melayu, kata Ketua Penolong Pengarah Seksyen Data Raya di Jabatan Digital Negara, YBrs. Ts. Dr. Rusnita Isnin@Hamdan. Beliau mencadangkan agar datayang sedia ada dalam data raya dianalisis dan diperkayakan bagi tujuan peristilahan bahasa Melayu.
“Sistem pangkalan data seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), walaupun belum diberi suntikan teknologi AI, sangat membantu generasi masa ini untuk mengakses maklumat yang diperlukan tanpa perlu merujuk kepada kamus secara manual,” tambah beliau.
Disebabkan oleh ledakan populariti LLM belakangan ini, terdapat usaha untuk membina LLM khusus bagi bahasa Melayu dalam menangani isu bahasa seperti peristilahan.