12 September 2024, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Kolokium Antarabangsa Pengajian Melayu (KAPM) 2024 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus Terengganu menerusi Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  dan Universiti Fatoni, Thailand telah diadakan dengan jayanya di UMT, semalam.

Tema  yang diangkat dalam kolokium pada kali ini ialah “Memartabatkan Pengajian Melayu di Persada Antarabangsa” dengan matlamat untuk mengangkat  disiplin ilmu Pengajian Melayu ke peringkat antarabangsa. Kolokium yang berlangsung selama satu hari ini dilaksanakan secara hibrid telah menghimpunkan ahli akademik dan penggiat bahasa Melayu dari empat buah negara, iaitu Malaysia, China, Brunei dan Thailand.

Antara objektif penganjuran kolokium ini adalah untuk menyokong Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2025-2030, menjalinkan kerjasama pendidikan, penyelidikan dan penerbitan dengan universiti luar  dan agensi luar negara dalam bidang bahasa Melayu serta memberikan ruang kepada pensyarah dan penyelidik membentangkan hasil penyelidikan serta dapatan menerusi bidang Pengajian Melayu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMT yang mewakili Naib Canselor UMT, YBhg. Profesor Dr. Mohd. Izani Mohd Zain menyampaikan ucapan perasmian dalam KAPM 2024.

Kolokium ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMT yang mewakili Naib Canselor UMT, YBhg. Profesor Dr. Mohd. Izani Mohd Zain.

Menurut beliau, penggunaan Bahasa Melayu harus merentas disiplin ilmu, Hal ini kerana bahasa Melayu bukan sekadar medium penghantar untuk pembelajaran berkaitan dengan bahasa atau budaya orang Melayu sahaja. Bahasa Melayu juga bukan tentang pertuturan seharian semata-mata dan terhad dalam urusan rasmi kerajaan sahaja. Sebaliknya, Bahasa Melayu mesti hadir dan digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang.

“Untuk semua itu berlaku, bahasa Melayu sendiri harus mempunyai keanjalan dalam menyampaikan ilmu. Bahasa Melayu mesti mempunyai perbendaharaan kata dan sistem yang meraikan pelbagai tradisi dan epistemologi. Baik dalam lingkungan akademik, mahupun dalam persekitaran yang tidak formal. Hanya dengan yang demikian, Bahasa Melayu akan mempunyai kekuatan yang memungkinkannya menjadi bahasa ilmu. Semua itu harus dan boleh bermula dengan radikal dan strategik dalam kalangan bijak pandai di universiti,” ujar beliau lagi semasa menyampaikan ucapan perasmian KAPM 2024.

KAPM 2024 Jjuga menampilkan tokoh bahasa selaku penyampai ucap utama, iaitu YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dengan tajuk “Memaju Pengajian Melayu dalam Mendepani Dunia Global”. Dalam ucap tama tersebut, YB Senator menyatakan bahawa pengajian Melayu telah berakar jauh lebih lama seawal abad ke-7 berbanding dengan dakwaan Barat khasnya Belanda dan Inggeris.

“Menurut rekod Yi Jing, skop pengajian Melayu lebih luas meliputi bahasa, sistem pemerintahan, pengajian agama dan adat Melayu, manakala rekod Barat sekadar menyentuh tentang kawasan serantau.”

YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku pembentang ucap utama dalam KAPM 2024.

Sebanyak 26 kertas kerja telah dibentangkan berdasarkan empat subtema utama, iaitu Martabat Pengajian Melayu di Peringkat Antarabangsa, Memartabatkan Pengajian Melayu Melalui Terjemahan, Memartabatkan Pengajian Melayu Melalui Penyelidikan dan Memartabatkan Bahasa Melayu: Integrasi Ilmu dengan bahasa Asing. Dari segi penyertaan pula sebanyak 200 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah UMT, guru sekolah, pegawai DBP, guru pelatih, murid sekolah, serta pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu

Menerusi kolokium ini juga, sebanyak sembilan resolusi telah diperoleh melalui kertas kerja yang dibentangkan. Satu daripada resolusi tersebut adalah berkaitan dengan kerjasama dua hala antara negara serumpun yang perlu diperkukuh dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan seterusnya usaha untuk melestarikan bahasa Melayu dalam kalangan negara ASEAN. Selain itu, usaha  untuk mempromosikan program Pengajian Melayu di Malaysia ke  luar negara  perlu diperluas sehingga ke peringkat antarabangsa.

Turut hadir dalam KAPM 2024 ini termasuklah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) yang mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Dekan Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan UMT, YBhg. Profesor Dr. Asyraf Haji Abd. Rahman; Ketua Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan UMT, YBrs. Encik Mohammad Mahdi Abas; Pengarah Program KAPM 2024, YBrs. Dr. Roswati Abd Rashid; Pegawai Utama dan Pegawai Kanan UMT; Pegawai Fokal; Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus, para pensyarah UMT; para pegawai DBP; peserta KAPM 2024 dan penaja KAPM 2024, iaitu Oxford Eduvision (M) Sdn. Bhd., Gong Dato Enterprise, Stesen Petronas Gong Dato serta Stesen Minyak Gong Badak (Petron).

Kredit Foto: Media Kreatif UMT
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.