Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Forum Pelajar dan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Kebangsaan 2024 bertujuan untuk membantu dan memupuk penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan telah dijalankan lebih 30 tahun yang lalu, kata Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh.
“Sejarah Pertandingan Forum Pelajar bermula pada tahun 1992 dengan tujuan membantu dan memupuk penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC),” ujar beliau.
Menurut beliau lagi, “Hal ini adalah usaha yang sangat baik dalam menarik minat serta mencungkil bakat murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), SMPC, serta sekolah-sekolah vernakular terhadap pembelajaran dan pengaplikasian bahasa Melayu.”
Beliau berharap usaha-usaha seperti ini diterima baik oleh guru-guru dan semua murid di SMPC serta sekolah vernakular.
“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan supaya murid SMPC mempunyai platform untuk menunjukkan kehebatan mereka dalam pertandingan kebangsaan yang melibatkan bahasa kebangsaan,” kata beliau sebelum merasmikan majlis penutup yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Rethwan menyatakan bahawa penggunaan diksi, laras bahasa, dan kosa kata yang luas oleh peserta forum ini dalam menyampaikan hujah yang dibentangkan menjadi bukti keupayaan generasi muda dalam menguasai bahasa Melayu dengan baik serta menunjukkan kematangan berfikir dan berbahasa. Hal ini sekali gus memupuk rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan.
“Walaupun bahasa Melayu diajarkan secara formal di dalam kelas, penerapan kemahiran berbahasa dalam kehidupan seharian adalah lebih penting, dan bahasa Melayu seharusnya berfungsi sebagai wahana komunikasi antara pelbagai etnik di Malaysia,” katanya.
YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar turut menyatakan bahawa komitmen terhadap penganjuran Festival Bahasa dan Sastera 2024 adalah amat penting untuk memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatupadukan rakyat Malaysia. Aktiviti seperti pertandingan forum, deklamasi puisi, pidato, bercerita, dan koir yang melibatkan penyertaan murid secara menyeluruh mampu menjadi pemangkin dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan.
“Kebersamaan ini akan menjayakan usaha DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa ilmu, dan bahasa perpaduan, yang menjadi tunjang dalam pembinaan negara bangsa,” tambah beliau.
Beliau percaya bahawa bahasa Melayu juga berperanan sebagai wahana penyebaran ilmu, yang dapat membina keintelektualan dan kesantunan bangsa, serta membolehkan penuturnya menyampaikan fikiran, hujah, dan pendapat dengan tertib dan teratur, seperti yang ditunjukkan dalam pertandingan tersebut.