12 September 2024, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persediaan kurang daripada tiga minggu dan tarikh yang hampir dengan peperiksaan IGCSE tidak menjadi halangan bagi Padmashiri, satu-satunya peserta berbangsa India, dan rakannya dari Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA), Ipoh, Perak, untuk memenangi dua hadiah utama dalam Pertandingan Forum Pelajar.

Padmashiri Reddy a/p Nadarajah berkata bahawa kemenangan ini bukanlah kejayaannya semata-mata, tetapi hasil usaha sama guru, panelis yang lain dan rakan sekolah yang sentiasa memberikan sokongan penuh.

“Tanpa bantuan dan kerjasama mereka, kejayaan ini mustahil dicapai. Kami semua bekerja keras dan memberikan yang terbaik dalam tempoh masa yang singkat,” ujar gadis petah yang berasal dari Ipoh, dalam temu bual eksklusif bersama-sama JendelaDBP, usai Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Pelajar dan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Kebangsaan 2024.

Padma juga menambah bahawa pengalaman ini telah mengajarnya tentang kepentingan disiplin, kerja berpasukan dan semangat tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran, terutama sekali ketika tarikh pertandingan begitu dekat dengan peperiksaan penting seperti IGCSE.

Pertandingan Forum Pelajar 2024 dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (HAN).

Pertandingan ini merupakan satu langkah dan pendekatan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar khususnya murid Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di Malaysia.

Dalam Pertandingan Forum Pelajar, Padmashiri Reddy a/p Nadarajah dari Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA), Ipoh, Perak, diiktiraf sebagai Ahli Panel Terbaik dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300 serta buku terbitan DBP. Tan Harn Xi dari Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, Kuching, Sarawak, turut dinobatkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300 dan buku terbitan DBP.

Sekolah Menengah Chung Hua No.1, Kuching, Sarawak yang membawa tajuk “Sukan Pemersatu Negara Bangsa”, berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan ini dengan hadiah wang tunai bernilai RM2500 dan buku terbitan DBP, diikuti oleh Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA), Ipoh, Perak, yang mengangkat tema “Bahasa Dimartabat, Negara Berdaulat,” di tempat kedua dengan hadiah wang tunai sebanyak RM2000, dan Sekolah Menengah Tshung Tsin Sabah di tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1500 serta buku terbitan DBP dengan tajuk “Budi Bahasa Budaya Kita”.

Barisan panel hakim yang mengadili pertandingan ini terdiri daripada Ahli Tertinggi Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM), Encik Ahmad Badrulhisam Che Kasim selaku Ketua Hakim; Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw; Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Dr. Kavenia Kunasegran; Ahli Tertinggi MADUM merangkap pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Puan Mizan Muhammad; serta Mantan Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP, Puan Ratna Inzah Mohd Asri.

Selain pertandingan Forum Pelajar, terdapat empat acara lain yang turut dipertandingkan, iaitu Pertandingan Bercerita, Pertandingan Pidato, Pertandingan Deklamasi Sajak dan Pertandingan Koir.

Dalam Pertandingan Bercerita, Linford Linus dari SJKC Kung Ming, Beaufort Sabah berjaya meraih tempat pertama dengan hadiah wang tunai sebanyak RM500 dan buku terbitan DBP, diikuti oleh Sarvin a/l Guna Sagar dari SJKT Mentakab yang menduduki tempat kedua dengan membawa pulang hadiah  sebanyak RM400 dan buku terbitan DBP. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Steve Ong Kaa Hao dari SJKC Batu Sebelas, Cheras yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM300 dan buku terbitan DBP.

Dalam Pertandingan Pidato, Yong Yu Xuan dari SJKC Lai Meng, Bukit Jalil meraih tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500 dan buku terbitan DBP. Lim Xee Ean dari SJKC Yuk Chai, Petaling Jaya menduduki tempat kedua dengan hadiah wang tunai sebanyak RM400 dan buku terbitan DBP, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Deviey Sim Bing Bing dari SJK Chung Hua Bintulu 2 yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM300 dan buku terbitan DBP. Penyertaan lain dalam pertandingan ini termasuklah Syazvi Ng Yung Kang dari SJKC Yuk Choi, Lahad Datu; Prethive a/l Saundra Rajan dari SJKT Segambut; dan H’ng Yun Xi dari SJKC Shin Cheng (HARCFO).

Dalam Pertandingan Deklamasi Sajak, Tai Wuey Liang dari Sekolah Menengah Tsun Jin Kuala Lumpur meraih tempat pertama dan menerima wang tunai sebanyak RM600 serta buku terbitan DBP. Tempat kedua dimenangi oleh Benning Anak Ujang dari Sekolah Menengah Jalan Riam, Miri, yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 dan buku terbitan DBP, manakala JJ Arreal Clayster dari Sekolah Menengah Tshung Tsin Tenom menduduki tempat ketiga dengan hadiah sebanyak RM300 dan buku terbitan DBP.

Bagi Pertandingan Koir, Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur mengungguli pertandingan ini dengan meraih tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2000 berserta buku terbitan DBP. Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur meraih tempat kedua dengan hadiah wang tunai berjumlah RM1500 dan buku terbitan DBP, sementara Sekolah Menengah Persendirian Jalan Riam, Miri menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai bernilai RM1000 dan buku terbitan DBP.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.