Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) menerima kunjungan dari Universitas Islam Negeri Sunan Kalijaga (UINSK), Indonesia pada 11 September yang lalu di Dewan Aminuddin Baki, IPGKBM dan bersempena dengan kunjungan tersebut, IPGKBM telah menganjurkan Seminar Pendidikan Serantau 2024 IPGKBM-UINSK atau International Students Academic Experience (ISAE) 2024 bagi berkongsikan pengalaman dan kemahiran antara budaya serumpun untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Selain memantapkan pengetahuan dan kemahiran pedagogi dalam konteks sebenar menerusi Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB), seminar tersebut juga membentangkan amalan terbaik aktiviti kebahasaan, pedagogi dan komunikasi.
Ketua Jabatan Kecemerlangan Akademik, IPGKBM, YBhg. Datin Mastura Berawi yang mewakili Pengarah IPGKBM berkata, bahasa Melayu yang dahulunya menjadi lingua franca, kini digunakan sebagai bahasa pengantara dalam perkongsian ilmu, sekali gus membolehkan kelangsungan serta keunggulan bahasa Melayu terjamin.
Sementara itu, Pensyarah Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, UINSK, Puan Anita Ekantini sebagai wakil UINSK telah berkongsikan maklumat mengenai ISAE yang merupakan satu bentuk pengalaman lapangan kepada mahasiswa, sekali gus membekalkan mereka dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah serta pengalaman akademik di institut pendidikan dengan harapan bahawa mahasiswa dapat memiliki pandangan, pengalaman dan pengetahuan antarabangsa.
Sebanyak 17 pembentangan amalan terbaik aktiviti kebahasaan, pedagogi dan komunikasi telah dibentangkan dalam seminar tersebut yang merangkumi pelbagai topik termasuklah kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan murid sekolah rendah, pendidikan inklusif, pembelajaran bermakna PAK-21 serta pengurusan stres dalam kalangan mahasiswa.
Para peserta turut dihiburkan dengan acara kebudayaan yang memperlihatkan konsep kepelbagaian budaya antara Malaysia dengan Indonesia yang terdiri daripada persembahan dikir barat, deklamasi sajak dan dendangan syair oleh mahasiswa dari IPGKBM, manakala mahasiswa dari UINSK berpeluang mempersembahkan tari batik, musikalisasi puisi dan tari dolanan anak.
Mahasiswa dari UINSK, Sely Indriani berpendapat bahawa seminar ini sangat berinformatif dan membolehkan beliau dapat menghayati warisan budaya di Malaysia.
Darshiniy Subramaniam, iaitu seorang daripada pembentang seminar dari IPGKBM pula menzahirkan kegembiraannya kerana diberikan peluang untuk menjadi pembentang dan berpandangan bahawa seminar sedemikian mampu menjadi platform kepada pertukaran idea yang konstruktif dan dinamik.
Di samping itu, seminar ini juga memberikan peluang kepada mahasiswa dari IPGKBM untuk mengasah kemahiran praktikal serta kemahiran insaniah untuk mengurus dan mengawal perjalanan sesuatu acara, khususnya acara seminar.
Seminar seumpama ini sewajarnya menjadi wadah yang bermanfaat dalam pengembangan ilmu dan penyelidikan pendidikan di Malaysia, khususnya dalam kalangan bakal guru.