Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJordan – Pertandingan Kemuncak Pidato Antarabangsa Education Malaysia Jordan (PAEMJ) Kali Ke-3 telah melabuhkan tirai dengan menobatkan anak kelahiran Johor sebagai juara. Saudari Maizatul Adriana Salim mengungguli kategori Penutur Jati Timur Tengah dalam pertandingan tersebut. Beliau merupakan anak jati dari negeri Johor, Malaysia yang sedang belajar di WISE University, Jordan dalam bidang Dakwah dan Usuluddin serta bercita-cita untuk bergelar pensyarah.
Pertandingan Kemuncak PAEMJ Kali ke-3 ini telah berlangsung dengan jayanya pada 14 September 2024 di University of Jordan, iaitu satu daripada universiti terbaik di Amman, Jordan. Pertandingan ini merupakan program mega tahunan yang telah dianjurkan buat kali ketiga oleh pihak Education Malaysia Jordan (EMJ) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan penaja utama bagi pertandingan ini yang penganjurannya bermula sejak tahun 2022 yang lalu.
Pertandingan Pidato Antarabangsa EMJ kali ini telah mengangkat tema “Menjulang Bahasa, Menyuluh Budaya” telah menyajikan tiga kategori menarik yang telah menghimpunkan para peserta dari pelbagai latar negara dan bidang pendidikan. Kategori yang dimaksudkan ialah kategori Penutur Jati Timur Tengah, kategori Penutur Jati Bukan Timur Tengah dan kategori Bukan Penutur Jati.
Juara bagi kategori Penutur Jati Timur Tengah membawa pulang wang tunai tajaan DBP sebanyak RM2000 berserta sijil penghargaan dan hadiah iringan. Naib juara bagi kategori yang sama dirangkul oleh Saudari Ainul Mardhiyyah Mohd Hakki yang merupakan pelajar Malaysia di Yarmouk University, Jordan dengan membawa pulang wang tunai tajaan DBP sebanyak RM1500 berserta sijil penghargaan dan hadiah iringan. Tempat ketiga disandang oleh Saudari Robiatuladawiyah Khairuddin, iaitu pelajar Malaysia di University of Alexandria, Mesir dengan membawa pulang wang tunai tajaan DBP sebanyak RM1000 berserta sijil penghargaan dan hadiah iringan.
Pemenang saguhati terdiri daripada Saudara Muhammad Azri Hasmezam yang merupakan peserta dari Malaysia yang sedang belajar di Yarmouk University, Jordan dan Saudara Aliif Nailur Ridho yang merupakan peserta dari Indonesia dan pelajar di University of Jordan. Masing-masing telah membawa pulang wang tunai tajaan DBP sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan dan hadiah iringan.
Bagi kategori Penutur Jati Bukan Timur Tengah dimenangi oleh Saudari Sajidahanie Jamian yang merupakan pelajar dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kubu Bharu, Selangor. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1000 tajaan DBP, sijil penghargaan berserta hadiah iringan.
Bagi kategori Bukan Penutur Jati pula dimenangi oleh Saudari Mina Uchida dari negara Jepun dengan memperoleh hadiah wang tunai bernilai RM1000 tajaan DBP, sijil penghargaan berserta hadiah iringan.
Majlis Penutupan PAEMJ Kali Ke-3 ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama, Mohamad Nasri bin Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Jordan. Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan perasaan sangat kagum apabila dapat melihat para finalis mengembangkan idea dan isi pidato masing-masing dengan menarik dan penuh bersahaja.
Turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ketua Jabatan Kedutaan Besar Malaysia di Amman, YBrs. Prof. Madya Dr. Radzuwan Ab Rashid; Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ) merangkap Ketua Juri Peringkat Akhir, Encik Mohd Hanafiah Ali; Pegawai Atase Pendidikan Jordan selaku juri jemputan, Dr. Maskiah Masrom, Ketua Pusat Penyelidikan dan Penerbitan KUIJSI selaku juri jemputan, Encik Syafiq Zulakifli; Timbalan Ketua Pusat Penyelidikan dan Penerbitan KUIJSI yang juga merupakan juri jemputan, En. Syed Mohsen Syed Abu Bakar Alkaff; Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif EMGS yang juga juri jemputan, Encik Fajar Shiddik Irsyad; dan Pengajar Bahasa Indonesia Kedutaan Besar Republik Indonesia di Amman selaku juri jemputan.