Oleh Rohayati Junaidi
19 September 2024, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu (PAMBM) anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berupaya membantu meningkatkan penerbitan berimpak tinggi dalam kalangan pensyarah UPSI.

PAMBM yang diadakan dua tahun sekali selepas tahun 2015 itu melibatkan peserta dari luar negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Korea, Jerman dan negara lain.

Pada tahun ini, Tokyo University of Foreign Studies, Jepun telah dipilih sebagai lokasi penganjuran PAMBM buat kali kelapan berdasarkan usaha sama yang boleh dilakukan bagi aktiviti pelan jangka masa panjang antara UPSI dengan Tokyo University of Foreign Studies, Jepun dalam pelbagai bidang, khususnya dalam bidang bahasa dan sastera Melayu, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua institusi berkenaan.

PAMBM 2024 yang dianjurkan pada kali ini bertemakan “Kedinamikan Prospek Pengajian Melayu” dengan subtema linguistik, budaya, kesusasteraan, bahasa etnik, pendidikan, sosiologi, antropologi, manuskrip, filologi, kesenian dan subtema lain yang berkaitan dengan pengajian Melayu.

Naib Canselor UPSI, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dalam ucapan perasmiannya berkata, bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan rakyat Malaysia kini dikongsi dan diberikan makna oleh manusia.

Naib Canselor UPSI, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.

Tegas beliau,

Bahasa Melayu berpotensi besar untuk digunakan dalam pelbagai aspek bukan sahaja sebagai bahasa Melayu semata-mata tetapi lebih daripada itu.

Beliau turut bersetuju dengan peranan media massa dan media sosial dalam penyebaran bahasa Melayu kerana platform seperti YouTube, Instagram, TikTok dan Facebook dapat membantu menyebarluaskan bahasa dan sastera Melayu kepada khalayak yang lebih besar dan menyeluruh.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Jepun, YBhg. PYT Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany berkata, kemampuan bahasa Melayu dalam mengungkapkan pelbagai bidang ilmu, kedaulatan bahasa Melayu, pembinaan kepustakaan berbahasa Melayu, di samping jumlah penutur yang semakin bertambah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa antarabangsa, khususnya di Asia Tenggara pada masa akan datang.

Duta Besar Malaysia di Jepun, YBhg. PYT Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany.

Ujar beliau,

Kerjasama daripada semua pihak, sama ada pihak kerajaan dan bukan kerajaan, badan bahasa dan orang perseorangan adalah penting dalam mengupayakan bahasa Melayu untuk diangkat tarafnya menjadi bahasa antarabangsa.

Pensyarah dari Tokyo University of Foreign Studies, Jepun, YBrs. Profesor Dr. Soda Naoki ketika menyampaikan ucap utamanya pula berkongsikan peranan universiti berkenaan dalam sejarah perkembangan pendidikan bahasa Melayu di Jepun.

Pensyarah dari Tokyo University of Foreign Studies, Jepun, YBrs. Profesor Dr. Soda Naoki.

Katanya,

Perkembangan pendidikan bahasa Melayu di Jepun bermula pada zaman Tokyo School of Foreign Languages (1873–1885 dan 18991944) diikuti oleh Tokyo College of Foreign Affairs (1944–1949) dan Tokyo University of Foreign Studies dari tahun 1949 hingga kini.

Sebanyak 51 kertas kerja telah dibentangkan dalam persidangan pada kali ini yang merangkumi pelbagai topik pengajian Melayu dan barisan pembentang terdiri daripada para ahli akademik dari pelbagai institusi tinggi awam dan swasta serta kementerian pendidikan di Malaysia, Singapura, Brunei dan Jepun.

Para pembentang kertas kerja PAMBM 2024.

Sepanjang sesi PAMBM 2024 berlangsung, para pembentang turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu Sinaran dan deklamasi sajak oleh pelajar dari Tokyo University of Foreign Studies, Jepun yang mengambil kursus bahasa Melayu.

Pelajar dari Tokyo University of Foreign Studies, Jepun ketika membuat persembahan nyanyian lagu Sinaran.
Deklamasi sajak yang disampaikan oleh pelajar dari Tokyo University of Foreign Studies, Jepun.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.