Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGombak – Pertandingan Jelajah Bahasa yang dianjurkan oleh pensyarah kursus LMBD 1131 Bahasa Melayu I dan LMBD 1132 Bahasa Melayu II dari Divisyen Bahasa Melayu (DBM), Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Prauniversiti (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah diadakan pada 18 September 2024.
Pertandingan yang berlangsung di sekitar kawasan UIAM tersebut telah melibatkan penyertaan daripada pelajar antarabangsa yang mengikuti kursus LMBD 1131 dan LMBD 1132. Pertandingan ini bertujuan untuk mengukuhkan pemahaman pelajar tentang topik pengajaran dan pembelajaran yang bukan sahaja terhad kepada ujian bertulis atau kuiz sebaliknya melibatkan aktiviti di luar kelas.
Pertandingan yang berkonsepkan “jejak harta karun” tersebut telah memanfaatkan sepenuhnya penggunaan aplikasi Actionbound ke arah pembelajaran alaf baharu berteraskan teknologi. Aplikasi Actionbound tersebut merupakan permainan pengembaraan digital interaktif yang bertujuan untuk menyelesaikan beberapa misi.
Dalam Pertandingan Jelajah Bahasa, pihak penganjur telah menyediakan misi tertentu yang perlu dicapai oleh para peserta dalam bentuk soalan, tugasan dan cabaran yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Perkara yang unik dalam aplikasi tersebut ialah misi diselesaikan dengan pelbagai kaedah termasuklah rakaman video dan gambar, lakonan dan nyanyian yang menjadikan pertandingan tersebut lebih menarik dan interaktif.
Misi yang perlu diselesaikan oleh para peserta telah direka khas oleh pihak penganjur berdasarkan tajuk yang telah dipelajari di dalam kelas. Antara soalan yang dipilih sebagai misi pertandingan termasuklah tajuk golongan kata, aktiviti beli-belah, pembentukan ayat, dan kata sapaan. Ketika pertandingan berlangsung, sebanyak lapan kumpulan telah berentap bagi meraih gelaran juara dan setiap kumpulan tersebut terdiri daripada gabungan pelajar LMBD 1131 dan LMBD 1132. Hal ini demikian bertujuan agar sikap bekerjasama antara pelajar dapat dipupuk.
Dalam majlis penutupan program tersebut, Pengarah CELPAD, Penolong Profesor Dr. Faridah Abdul Malik, menyatakan bahawa pertandingan seperti ini merupakan pendedahan yang terbaik buat pelajar antarabangsa UIAM untuk mempelajari bahasa Melayu dalam suasana yang santai dan menghiburkan.
Beliau berkata
usaha para pensyarah yang terlibat dalam penganjuran pertandingan tersebut merupakan satu usaha murni bagi membolehkan pelajar menggunakan bahasa dalam suasana sebenar.
Sementara itu, Ketua DBM, Encik Mohd Fauzan Mat Jam Jam, menzahirkan keterujaan beliau terhadap pertandingan tersebut. Ujar beliau, menerusi pertandingan tersebut, para pelajar antarabangsa dapat mengalami sendiri suasana pembelajaran aktif dan pengetahuan bahasa Melayu mereka dapat diperkukuh.
Selain itu, ketika ditemu bual, pensyarah kursus, merangkap pengarah program, iaitu Puan Siti Zafira Zainal Abidin berpendapat bahawa pengintegrasian teknologi permainan digital seperti Actionbound dalam kalangan pelajar antarabangsa UIAM menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih relevan dan menarik untuk generasi digital. Di samping itu, menerusi permainan digital tersebut, para pelajar juga akan lebih bermotivasi untuk menggunakan kemahiran berbahasa Melayu secara praktikal dan berkesan.
Kenyataan beliau disokong oleh beberapa pelajar antarabangsa yang menyertai pertandingan tersebut. Antara ulasan pelajar antarabangsa tersebut
“Saya seronok kerana dapat belajar sambil bermain. Saya telah belajar banyak perkataan baharu.” – Saudari Nailat Abdullah Mbutu (Tanzania)
“Cikgu bahasa Melayu kami kreatif kerana telah mengadakan pertandingan ini. Pengetahuan bahasa Melayu saya berkembang. Saya rasa gembira hari ini. Saya berharap agar selepas ini dalam kursus Bahasa Melayu II, ada aktiviti seperti ini.” – Saudara Samer Lubbad (Palestin)
“Saya dapat meningkatkan ilmu bahasa Melayu saya dengan menyertai pertandingan ini. Sangat bermanfaat. Saya juga dapat mengenali rakan baharu dan bekerjasama dengan mereka.” – Saudari Sittie Hufaysah Alano (Filipina)
“Ketika belajar di kulliyyah (fakulti), saya tidak berpeluang untuk merasai pengalaman permainan seperti ini kerana semua pengajaran berkonsep kuliah. Apabila ada aktiviti permainan digital seperti ini, saya rasa seronok dan semakin yakin untuk bercakap dalam bahasa Melayu selepas ini.” – Saudara Zain Sattar (Maldives)
Daripada lapan kumpulan yang menyertai Pertandingan Jelajah Bahasa, Kumpulan Kantan telah mengungguli pertandingan tersebut, manakala Kumpulan Teratai dan Kumpulan Kasturi masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga. Kumpulan tersebut telah membawa pulang hadiah seperti hamper makanan, sijil penghargaan dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.