Oleh Mardhiah Othman
20 September 2024, 10:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Málaga – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menghantar dua orang editor dari Bahagian Perkamusan sebagai wakil Malaysia untuk menyertai bengkel latihan leksikografi dan pengkomputeran leksikal (Lexicom) yang dianjurkan oleh syarikat pembangun perisian korpus Sketch Engine, iaitu Lexical Computing Ltd yang berpangkalan di Eropah.

Penganjuran Lexicom yang ke-23 kali ini, negara Sepanyol dipilih sebagai tuan rumah dengan pengisian program yang amat padat dan praktikal bermula pada 16 September 2024 hingga 20 September 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Lexical Computing Ltd, Dr. Miloš Jakubíček sendiri menerajui bengkel Lexicom yang berfokuskan tentang Sketch Engine.

Puan Siti Norsuhaila Samsuddin dan Puan Mardhiah Othman bersama-sama 23 lagi peserta dari serata pelosok dunia tidak mahu ketinggalan mendalami ilmu perkamusan daripada pakar perkamusan Eropah serta pengendalian perisian yang terkemuka seperti Sketch Engine.

Suhaila dan Mardhiah di hadapan Innovation Campus, Malaga Campus, lokasi Lexicom 2024.

Rata-rata peserta mempunyai latar belakang dan pengalaman asas sebagai pengguna Sketch Engine khususnya, dan ilmu perkamusan amnya. Para peserta Lexicom 2024 yang terdiri daripada warganegara Amerika Syarikat, Kanada, Brazil, Itali, Poland, England, Scotland, Ukraine, Croatia, Lithuana, New Zealand, Jerman dan Afrika Selatan amat bertuah kerana mendapat bimbingan daripada Ketua Pegawai Leksikografi Lexical Computing Ltd, iaitu Michael Rundell.

Antara kandungan seminar yang dikendalikan oleh Michael Rundell termasuklah konsep kamus dwibahasa dan amalan leksikografi yang mutakhir.

Beliau telah pun bersara sebagai Ketua Editor macmillandictionary.com, namun masih berperanan sebagai pakar rujuk dan tokoh besar bidang perkamusan khususnya kamus pedagogi, selain menghasilkan buku panduan Oxford Guide to Practical Lexicography (2008) yang ditulis bersama-sama dengan mendiang Sue Atkins.

Sementara itu, pasukan teknikal Sketch Engine memberikan tumpuan terhadap bimbingan dalam persediaan dan keperluan sesebuah projek penyusunan kamus, iaitu linguistik korpus, pembangunan korpus, penganalisisan data korpus, serta pengurusan metadata korpora, di samping membekalkan perisian secara percuma kepada peserta berdaftar untuk memudahkan latihan amali.

Penceramah tamu dari Universiti Granada, Profesor Pilar León Araúz turut diundang pada hari ketiga untuk berkongsi pengalaman beliau membangunkan projek EcoLexicon, iaitu projek yang mengaplikasikan Sketch Engine bagi membantu ahli terminologi atau peristilahan dalam aspek penyarian istilah ekologi dan alam sekitar.

Rundell memperkenalkan Profesor Pilar León Araúz kepada peserta.

Sungguhpun jadual Lexicom begitu padat dengan ilmu dan maklumat teknologi, pada masa yang sama bengkel latihan ini turut disulami dengan liburan singkat pada hari ketiga untuk menikmati tarikan pelancongan tempatan sambil merapatkan ukhuwah sesama peserta Lexicom. Peserta luar negara turut berpeluang memanfaatkan peluang berkomunikasi dalam bahasa Sepanyol yang dipelajari dalam masa yang singkat berikutan masyarakat Málaga tidak menggunakan bahasa lain selain bahasa ibunda mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.