Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBeijing – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu yang terletak di Beijing Foreign Studies University (BFSU) dengan nama baginda, menjadikan nama baharunya sebagai Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim.
Kursi akademik yang dimiliki oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) itu telah ditubuhkan pada tahun 2007 di BFSU bagi mengiktiraf peranan universiti itu yang konsisten dalam usaha pengembangan bahasa Melayu di China.
BFSU merupakan universiti pertama yang menawarkan kursus bahasa Melayu di China seawal pada tahun 1962, dengan mendiang Profesor Wu Zongyu sebagai pengasas dan perintisnya.
Hingga kini terdapat 17 buah institusi pendidikan tinggi China yang menawarkan kursus pembelajaran bahasa Melayu, menunjukkan bahasa Melayu terus mendapat tempat di hati penutur jati bahasa China.
Penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim ini adalah bertepatan dengan keakraban hubungan persahabatan Malaysia dan China yang telah terjalin sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Penamaan ini juga melakar sejarah baharu dalam meraikan sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China yang termeterai pada 31 Mei 1974.
Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ke majlis tersebut berkata, Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim ini ialah satu manifestasi yang menterjemahkan sokongan institusi Raja-Raja Melayu kepada usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu di persada dunia.
Saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada KDYMM SPB YDPA yang telah memperkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu tersebut dengan nama Baginda.
Sementara itu, Presiden BFSU, Profesor Jia Weijian menzahirkan rasa gembira beliau dan warga BFSU dengan penamaan nama baharu Kursi ini, dan melihat nama baharu ini akan menjadi pembakar semangat BFSU dalam mengekalkan momentum usaha pengembangan bahasa Melayu di bumi China.
Dato’ Norman Muhamad, Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China dalam ucapannya menjelaskan bahawa penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim tersebut merupakan satu penghormatan kepada usaha BFSU bersama-sama 16 institusi pendidikan tinggi China yang lain dalam mengembangkan dan memartabatkan bahasa Melayu di seluruh China.
Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU China merupakan Kursi Akademik yang Keempat ditubuhkan oleh KPT, di samping Kursi Pengajian Melayu di negara lain antaranya termasuklah Ohio University di Amerika Syarikat (1979), Leiden University di Belanda (1991), Victoria University di New Zealand (1995), dan Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan (2005).