Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSerdang – Buat julung-julung kalinya, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) bergema dengan bait-bait puisi yang dideklamasikan bersempena dengan Sambutan ke-100 Tahun MAHA.
Sebanyak 20 orang peserta telah mengambil bahagian dalam Sayembara Deklamasi Puisi 2024 itu.
Terdahulu, lebih daripada 50 orang peserta yang mendaftar telah disaring penyertaannya dengan setiap peserta perlu menghantar video deklamasi puisi terlebih dahulu.
Sayembara yang diadakan pada 16 September 2024 bertempat di Pentas Utama ROTF D’Lereng MAEPS itu turut diadakan bersempena dengan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September 2024.
Selain meraikan Sambutan ke-100 Tahun MAHA, sayembara ini diadakan sebagai satu daripada cabang untuk mempromosikan pengeluaran makanan negara dan memupuk minat lebih banyak orang awam dalam sektor agromakanan menggunakan elemen agrohiburan.
Sayembara ini juga diadakan bagi mencungkil bakat lebih banyak peserta dalam mendeklamasikan puisi serta meningkatkan dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu secara lebih meluas.
Dalam sayembara tersebut, para peserta dinilai dari sudut vokal, intonasi, nada, artikulasi, kelancaran, penghayatan, penampilan dan bahasa badan ketika mendeklamasikan puisi masing-masing.
Johan bagi sayembara ini telah dimenangi oleh Encik Norhisyam Razali yang mendeklamasikan puisi berjudul “Tok Janggut” karya Rahimidin Zahari)”, manakala naib johan menjadi milik Encik Shahrul Fadilah Ibrahim yang mempertaruhkan puisinya yang bertajuk “Milik Siapakah Tanah Ini? karya Mohd Ghazali Taib dan pemenang tempat ketiga disandang oleh Puan Ainun Nasibah Johar yang mendeklamasikan puisinya yang berjudul “Perempuan Itu Kehilangan” karya Ahmad Sarju.
Hadiah bagi pemenang telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutan (FAMA), Tuan Haji Aminudin Zulkipli.
Penganjuran sayembera yang diperhatikan berjaya menarik perhatian para pengunjung itu merupakan anjuran kerjasama antara FAMA dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sebagai rekod, MAHA merupakan pameran pertanian yang terbesar di Malaysia dan diadakan pada setiap dua tahun sekali.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah FAMA, Encik Abdul Rashid Bahri dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.