25 September 2024, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sahaja perlu menerbitkan semula buku terjemahan dalam bahasa Melayu yang laris, malah organisasi ini harus memainkan peranannya untuk menterjemahkan buku atau novel bahasa Melayu yang bagus dalam bahasa Inggeris sebagai bahan bacaan, terutamanya kepada pembaca antarabangsa.

Demikian penegasan yang dilontarkan oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir dalam Wacana Penerbitan “Ekosistem Penerbitan Buku Bahasa Melayu” yang diadakan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, pagi tadi.

YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir ketika menyampaikan sesi perkongsiannya dalam Wacana Penerbitan “Ekosistem Penerbitan Buku Bahasa Melayu” di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP.

Usaha menterjemahkan buku bahasa Melayu, khususnya novel ke dalam bahasa Inggeris adalah antara inisiatif yang membolehkan DBP memainkan peranannya dalam memastikan penerbitan buku DBP seiring dengan perkembangan penerbitan di negara maju yang lain.

Dalam sesi perkongsiannya, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 2.2 juta buku telah diterbitkan di seluruh dunia dan China merupakan negara yang paling banyak menerbitkan buku.

Ujar beliau,

Antara buku yang menjadi pilihan pembaca di seluruh dunia ialah buku genre fiksyen, iaitu sebanyak 88 peratus.

Beliau yakin bahawa buku tidak akan pernah “mati” dan akan terus hidup 1000 tahun lagi kerana beliau percaya bahawa manusia sudah pasti hendak memegang bahan bacaan secara fizikal yang memiliki lebih banyak kebaikannya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berkata, wacana ini menunjukkan kesediaan DBP untuk berubah dengan menggunakan teknologi dan inovasi dalam penerbitan buku serta memanfaatkan media sosial dalam pemasaran buku agar bahasa Melayu dapat merentas pelbagai golongan pembaca dan khalayak.

YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menegaskan bahawa DBP perlu bersedia untuk berubah dengan menggunakan teknologi dan inovasi dalam penerbitan buku serta memanfaatkan media sosial dalam pemasaran buku.

Kata beliau,

Hal ini adalah bersesuaian dengan peranan DBP sebagai badan penerbit utama negara yang berperanan penting untuk memandaikan masyarakat melalui penerbitan buku bahasa Melayu.

Beliau juga menyokong wacana seumpama ini diteruskan pada masa akan datang dengan pelibatan lebih banyak tokoh ilmuan yang boleh dijadikan ikon dalam dunia penerbitan buku berbahasa Melayu.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Encik M Azahari Edin, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, YM Tengku Fauziah Ku Mat, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua editor, para penerbit buku dan tetamu undangan lain.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.