Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIpoh – Pertandingan i-MInD PAMER peringkat akhir bagi Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik Tahun 2024 anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) bertujuan untuk mengkomersialkan, mempromosikan dan memasyhurkan produk yang dihasilkan oleh warga pendidik.
Pertandingan yang diadakan di Hotel Casuarina, Ipoh itu melibatkan pameran pelbagai buku dan bahan pengajaran yang telah diterbitkan oleh individu atau berkumpulan secara digital dan fizikal.
Pertandingan akhir i-MInD PAMER berjaya memenuhi objektif untuk menggalakkan warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan institusi pendidikan lain dari dalam negara untuk mengkomersialkan dan memasyhurkan penghasilan produk buku dan bahan pengajaran yang relevan dengan keperluan pendidikan pada masa ini.
Sebanyak 18 produk yang terbaik berjaya dipilih pada peringkat saringan bagi tiga kategori dalam pertandingan akhir i-MInD PAMER, iaitu Kategori Guru KPM, Kategori Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Kategori Institusi Pendidikan Lain.
Dalam pertandingan ini, para peserta bersaing untuk merebut anugerah terulung bagi setiap kategori dengan menyediakan reruai pameran produk dan maklumat tentang produk dan mempromosikan produk masing-masing melalui pembentangan, katalog dan soal jawab bersama-sama juri.
Anugerah yang menjadi rebutan bagi setiap kategori ialah Anugerah Terulung Emas, Anugerah Terulung Perak dan Anugerah Terulung Gangsa.
Pertandingan akhir i-MInD PAMER dinilai oleh tiga orang juri, iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Muhammad Faizal A. Ghani dari Universiti Malaya dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Puan Siti Mazlin Abdul Rahman.
Berdasarkan soal jawab dan ulasan daripada juri membuktikan hasil produk yang dipertandingkan mempunyai nilai komersial yang tersendiri dan mereka yakin bahawa produk yang dipertandingkan itu mempunyai potensi komersial yang lebih luas, sekali gus membuktikan tahap usaha, motivasi dan inovasi yang semakin matang dan kreatif telah ditunjukkan oleh kesemua para peserta.
Persaingan pada peringkat akhir ini merupakan satu persaingan yang hebat dan memberikan pengalaman yang bermakna dan berharga kepada setiap peserta yang dipilih pada peringkat akhir.
Usaha ini wajar diteruskan pada masa akan datang dan berupaya memotivasikan semua pihak, terutamanya warga pendidik.
Pertandingan i-MInD PAMER peringkat akhir adalah bertepatan dengan tema Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik Tahun 2024, iaitu “Membangunkan Minda Madani dan Karakter melalui Pendidikan”.
Pertandingan ini juga secara tidak langsung menjadi inspirasi kepada warga pendidik untuk mencipta bahan komersial berbentuk buku dan bahan pengajaran yang lebih baik pada masa akan datang.