Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPitas – “Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan yang dipertanggungjawabkan untuk membakukan ejaan dan sebutan, serta membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Usaha ini dapat dilihat melalui penyusunan dan penerbitan kamus bahasa Melayu”.
Demikian menurut Puan Azrin Eddy, iaitu Perancang Bahasa DBP Cawangan Sabah selaku penceramah Sesi Perkongsian Ilmu Perkamusan (Bersahabat dengan Kamus) bertempat di SMK Kanibungan, Sabah semalam.
Tambah beliau lagi, kamus merupakan buku rujukan penting yang digunakan untuk mencari makna sesuatu perkataan. Namun begitu, tidak semua mengetahui bahawa kamus turut memuatkan maklumat lain berkenaan sesuatu bahasa. Sebagai contoh, Kamus Dewan Perdana yang memuatkan lebih 120,000 kata masukan mempunyai maklumat tambahan yang amat berguna kepada pengguna seperti sebutan, ejaan jawi dan contoh penggunaan ayat. Maklumat tambahan ini menjadikan Kamus Dewan Perdana amat unik, unggul dan terampil.
Program Sesi Perkongsian Ilmu Perkamusan (Bersahabat dengan Kamus) bersempena dengan Wacana Kearifan Tempatan Sabah dengan tema “Indahnya Teka-teki: Mendidik dan Menghibur” ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.
Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran sebanyak 150 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru SMK Kanibungan, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta warga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas.
Sementara itu, Encik Bonar Majangkin, iaitu Pengetua SMK Kanibungan yang turut hadir dalam program itu berharap DBP Cawangan Sabah terus menyantuni pelajar sekolah terutamanya di kawasan pedalaman Sabah agar mereka tidak ketinggalan dan mendapat peluang serta pendedahan setaraf dengan pelajar di kawasan bandar.