Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bahasa Melayu dilihat mempunyai nilai ekonomi dan potensi yang sangat tinggi pada pandangan masyarakat luar.
Demikian perkongsian yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menjadi tetamu undangan dalam program Awani Pagi terbitan Astro, semalam.
Menurut beliau, terdapat dua tujuan utama bagi mana-mana negara yang ingin mempelajari satu-satu bahasa, iaitu untuk meningkatkan ilmu dan tujuan ekonomi.
Ujar beliau,
China melihat potensi bahasa Melayu yang sangat tinggi kerana ekonomi rantau ASEAN yang semakin berkembang, sebaliknya kita di dalam negara tidak sedar akan hal ini.
Beliau juga berkata, bahasa mempunyai fungsi sebagai alat perpaduan dan dalam konteks Malaysia MADANI dengan rakyat pelbagai kaum, terdapat satu elemen penting yang dapat menyatukan aspirasi, iaitu bahasa Melayu.
Katanya,
Seawal tahun 60-an lagi, kerajaan telah menganjurkan Minggu Bahasa Kebangsaan, Gerakan Cintai Bahasa Kebangsaan pada awal tahun 80-an, Bulan Bahasa dan Sastera Negara pada tahun 80-an hingga 90-an, dan kemudiannya sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan.
Tambah beliau, pada tahun 2021, kerajaan telah melancarkan program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2021–2030, iaitu kerangka besar pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa negara.
Menurut beliau,
Dalam tempoh 10 tahun atau bersamaan dengan satu dekad ini, pelaksanaan DBK mengharapkan rakyat di negara ini menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan dengan baik dalam semua aspek dan urusan rasmi, selain menjadi bahasa perpaduan dan bahasa yang menjadi identiti negara.
Beliau berkata, suatu negara yang maju, hebat dan merdeka mestilah mempunyai identiti atau jati dirinya yang tersendiri dan dalam pembinaan negara bangsa dalam konteks negara MADANI, sudah tentunya bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu menjadi tonggak kepada perpaduan dan identiti negara.
Beliau juga menyatakan bahawa objektif penganjuran DBK adalah untuk memastikan agar seluruh masyarakat, sama ada rakyat awam, generasi muda, pihak swasta dan individu yang mengakui dirinya sebagai rakyat Malaysia mencintai bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.
Dalam sesi perkongsiannya juga, beliau memaklumkan bahawa sambutan DBK pada tahun ini akan diadakan pada 6 Oktober 2024 di Ipoh Convention Centre (ICC), Perak dan majlis pelancarannya bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ujarnya, sambutan DBK 2024 mempunyai dua program, iaitu program teras yang melibatkan majlis pelancarannya dan program sampingan lain seperti forum, langkahan bahasa, ekspresi muzik jalanan dan sebagainya.
Jelasnya,
Yang menarik dalam program langkahan bahasa ini ialah DBP akan memberikan buku untuk dibaca semasa acara tersebut, manakala program ekspresi muzik jalanan pula akan meraikan anak-anak muda yang mempunyai minat menyanyi dan membimbing mereka dengan lagu yang menggunakan bahasa Melayu serta kandungan lagu yang betul.
Tegasnya, dengan mengambil semangat bulan bahasa kebangsaan yang bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa: Sayangi Bahasa, Sayangi Negara”, kita mestilah bersyukur kerana setelah Malaysia dijajah oleh empat penjajah, namun kita masih dapat mempertahankan dan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.