Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Ketam – Usaha untuk memantapkan penguasaan bahasa Melayu perlu dibuat sejak dari bangku sekolah dan merupakan suatu usaha murni bagi memantapkan lagi perpaduan di negara ini.
Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed berkata, sehubungan itu, DBP sentiasa bersedia untuk usaha-usaha memantapkan bahasa Melayu terutama dalam kalangan murid pelbagai kaum.”
Beliau berkata demikian ketika menutup majlis Perkampungan Bahasa Pulau Ketam kali kedua pada 26 hingga 28 September yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Lien, Pulau Ketam, di sini semalam.
Katanya, Perkampungan Bahasa Pulau Ketam ialah usaha yang dibuat bagi menggalakkan budaya membaca dalam bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah dan penduduk setempat.
“Kefahaman berbahasa Melayu penting bagi mengkukuhkah perpaduan.
“Dan adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian bangsa dan negara,” katanya.
Tambah beliau lagi, pengukuhan komunikasi dalam bahasa Melayu ini perlu dimulakan sejak sekolah. Malah, usaha ini bukan saja dari aspek penguasaan tetapi sahsiah dan akhlak yang terpuji.
Beliau mengambil contoh beberapa persembahan murid yang diadakan sempena majlis itu antaranya, deklamasi puisi, tarian sewang oleh murid-murid Orang Asli dari salah satu SJKC di pulau berkenaan selain dendangan lagu Tanggal 31 Ogos, yang dilakukan dengan baik hasil kerjasama dan usaha murni para guru.
“Perkampungan bahasa ini suatu usaha baik untuk memantapkan lagi bahasa Melayu dan harapan kita program ini akan berkembang dan dibuat dalam skala yang lebih besar di masa akan datang,” katanya.