Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebagai tanda penghargaan negara China atas pembabitan yang aktif dalam memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia dan China melalui bidang bahasa, pendidikan dan kebudayaan, Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan telah tersenarai sebagai penerima Anugerah Persahabatan Kerajaan China bersempena dengan Hari Kebangsaan Ke-75 negara tersebut.
Tokoh bahasa dan persuratan negara merangkap Ahli Dewan Negara dan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu dijadualkan akan menerima anugerah berkenaan dalam majlis rasmi kenegaraan di Dewan Perhimpunan Rakyat di Beijing, esok.
Usaha pemerkasaan dua hala dengan China ini bermula pada tahun 2000, iaitu sejak beliau memegang jawatan Pengarah Jabatan Bahasa DBP, kemudian sebagai Ketua Pengarah DBP dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, seterusnya lebih meluas apabila beliau dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) pada tahun 2007.
Tokoh lain yang bersama-sama beliau dalam pengembangan bahasa Melayu di seluruh negara China ialah Profesor Wu Zong Yu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China dan pensyarah-pensyarah bahasa Melayu warganegara China.
Dalam satu kenyataan, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan menegaskan bahawa pentingnya semangat persahabatan seperti pada abad ke-15 antara Kerajaan Melayu Melaka dengan Dinasti Ming.
Ujar beliau,
Pentingnya hubungan manusia sejagat diharmonikan apatah lagi antara bangsa dan negara di bahagian timur dunia, termasuklah Malaysia dan China yang memiliki banyak persamaan dari aspek tamadunnya.
Beliau yang turut menjadi penghubung antara pelbagai institusi pendidikan di Malaysia dan beberapa buah negara ASEAN dengan institusi pendidikan di China telah menyampaikan lebih 30 ucap utama dan kertas kerja di China, Malaysia dan beberapa negara ASEAN dalam persidangan yang berkaitan dengan hubungan Malaysia dan ASEAN dengan China.
Katanya,
Kini, terdapat 17 institusi pengajian tinggi di China yang menawarkan program ijazah, diploma dan kursus khas bahasa Melayu hasil hubungan baik antara Malaysia dengan China dan jumlah tersebut dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa dengan adanya pengukuhan hubungan antara kedua-dua buah negara tersebut.
Dalam hal ini, beliau mencadangkan agar lebih banyak hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara dirangka dan dilaksanakan melalui bidang bahasa, pendidikan, kebudayaan selain ekonomi sebagai pelengkap hubungan antara kerajaan dengan Kerajaan Malaysia dan China.